
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti cadangan supaya kemudahan cuti bersalin boleh dikongsi antara ibu dan bapa.
- Nancy menyokong usaha keluarga meluangkan masa bersama dan berkongsi tanggungjawab penjagaan anak.
- Rodziah mencadangkan cuti bersalin ibu dikongsi dengan suami, khususnya apabila bayi memerlukan penjagaan tambahan.
- JKM boleh mempertimbangkan pembayaran tunai sementara kepada penerima jika akaun bank dibekukan akibat siasatan penipuan.
- Penerima disarankan hubungi pejabat kebajikan daerah; bank dan Kementerian Kewangan sedia bekerjasama untuk akses bantuan.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata cadangan itu akan dipertimbangkan bagi memberikan ruang kepada pasangan berkongsi tanggungjawab penjagaan anak, termasuk dalam keadaan ibu memerlukan sokongan selepas bersalin.
“Terima kasih Yang Berhormat Ampang. Kita akan lihat kepada cadangan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy berkata beliau menyokong usaha yang menggalakkan keluarga meluangkan masa bersama dan berkongsi tanggungjawab penjagaan anak.
Sebelum itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) mencadangkan supaya kemudahan cuti bersalin yang diberikan kepada ibu boleh dikongsi dengan suami, khususnya apabila bayi memerlukan penjagaan tambahan selepas kelahiran.
“Kalau kita lihat cuti yang diberikan sebanyak tujuh hari ataupun 98 hari tu satu berita yang baik. Tetapi alangkah baiknya kalau kita boleh kongsikan cuti bersama dengan suami. Kadang-kadang wanita bersalin, anak demam kuninglah, dan sebagainya … suami yang sepatutnya bercuti.
“Tetapi suami tidak dapat paternity leave itu lebih daripada tempoh yang ada. Saya rasa dah sampai masanya untuk menyemak semula cuti yang ada itu dikongsikan bersama,” kata Rodziah.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mempertimbangkan pembayaran bantuan kebajikan secara tunai buat sementara waktu kepada penerima yang akaun banknya dibekukan susulan siasatan berkaitan penipuan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan kelangsungan hidup penerima bantuan tidak terjejas akibat masalah akses kepada akaun bank.
Berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa, beliau berkata bantuan bulanan JKM disalurkan melalui pindahan dana elektronik (EFT) ke akaun bank peribadi penerima yang aktif.
“Sekiranya akaun bank penerima dibekukan atau tidak lagi boleh digunakan akibat siasatan berkaitan penipuan, penerima bantuan atau waris yang sah disarankan untuk segera menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran bagi mendapatkan khidmat nasihat, dan mengemukakan maklumat akaun bank alternatif yang sah serta aktif,” katanya.
Nancy berkata Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa pihak bank bersedia bekerjasama dengan penerima bantuan yang akaunnya dibekukan sementara siasatan dijalankan bagi membolehkan wang bantuan kebajikan dikeluarkan.
Beliau berkata JKM mengambil perhatian terhadap isu keselamatan kewangan penerima bantuan, khususnya kes penipuan dalam talian, kecurian identiti dan pembekuan akaun bank yang menjejaskan penerimaan bantuan bulanan.- BERNAMA