KPKT anjur sambutan Deepavali terbesar peringkat kementerian

Nga Kor Ming / RTM

PUTRAJAYA, 27 Oktober- Sambutan Deepavali Peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun ini disifatkan sebagai penganjuran paling meriah dan terbesar pernah diadakan di peringkat kementerian itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap keterangkuman, memastikan tiada golongan terpinggir daripada pembangunan negara.
  • KPKT akan terus menganjurkan sambutan perayaan utama secara inklusif sepanjang tahun demi menyemarakkan semangat perpaduan dan meraikan kepelbagaian budaya rakyat.
  • Deepavali melambangkan kemenangan kebaikan atas kejahatan; nilai ihsan dan saling menghormati perlu disemai bagi memelihara perpaduan serta keharmonian negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata penganjuran Majlis Pesta Cahaya itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip keterangkuman, selain memastikan tiada golongan masyarakat terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Beliau berkata, KPKT akan terus menganjurkan sambutan perayaan utama secara inklusif sepanjang tahun bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan meraikan kepelbagaian budaya rakyat.

“Selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, KPKT akan menganjurkan sambutan Hari Krismas menjelang akhir tahun ini.

“Ini sekali lagi membuktikan komitmen pentadbiran sedia ada sebagai sebuah kerajaan untuk semua lapisan rakyat yang benar-benar meraikan kepelbagaian,” katanya selepas menyempurnakan majlis itu di sini hari ini.

Mengulas mengenai makna Deepavali, Nga berkata falsafah perayaan itu yang melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan wajar dijadikan pedoman dalam menyemai nilai ihsan dan sikap saling menghormati.

“Deepavali membawa sinar dan harapan baharu. Nilai-nilai murni ini perlu terus disemai bagi melahirkan masyarakat serta pentadbiran yang progresif, inklusif dan berteraskan sifat penyayang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak membiarkan mana-mana pihak memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian kaum yang sekian lama menjadi tonggak kekuatan Malaysia.

“Kepelbagaian budaya adalah kekuatan negara kita. Kerana kepelbagaian inilah kita terbentuk daripada pelbagai acuan, namun hati dan semangat kita tetap sama.

“Jangan biarkan ada puak atau kelompok yang cuba memecahbelahkan perpaduan kita. Peliharalah perpaduan dan pertahankan keharmonian, nescaya Malaysia pasti akan berjaya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.