Sumali Reduan sah bertanding Timbalan Presiden ISTAF

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan bercakap dalam Sidang Media Mesyuarat Agung Persekutuan sepaktakraw Malaysia(PSM) di ibu negara hari ini

KUALA LUMPUR 21 November –Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada pemilihan badan induk itu yang berlangsung 9 Disember ini di Bangkok, Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumali menghantar borang pencalonan selepas mengumumkannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan AGM PSM.
  • Beliau menegaskan kepentingan wakil Malaysia dalam kepimpinan ASTAF dan ISTAF untuk memastikan suara serta kepentingan negara didengar.
  • Perebutan Timbalan Presiden ISTAF empat penjuru melibatkan calon dari Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand, kongres dijadual di Bangkok 9 Disember.

Beliau berkata sudah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan selepas mengumumkan hasrat itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Kuasa Tertinggi dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM, hari ini.

“Keberadaan wakil negara dalam kepimpinan ASTAR dan ISTAF amat penting, khususnya dalam perkembangan semasa sukan sepak takraw negara.

“Menerusi jawatan dalam kedua-dua badan induk itu, kita mempunyai platform untuk membawa suara negara ke peringkat serantau dan antarabangsa, sekali gus memastikan kepentingan serta pandangan Malaysia turut didengari.

“Jika kita berada di luar kepimpinan tanpa memegang sebarang jawatan, suara dan pengaruh negara mungkin tidak dapat diketengahkan dengan sewajarnya.

“Justeru, saya telah membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden ISTAF,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Agung Persekutuan Sepaktakraw Malaysia(PSM) di ibu negara, hari ini.

Perebutan kerusi Timbalan Presiden ISTAF itu dijangka menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon dari Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Datuk Sumali Reduan sebelum ini turut mengesahkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) apabila diumumkan menang tanpa bertanding pada 11 September lalu selepas hanya dua pencalonan diterima bagi mengisi dua jawatan berkenaan.

Beliau mengisi satu daripada dua kerusi Timbalan Presiden ASTAF bersama Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr. Srihassak Arrirachakaran, yang turut menang tanpa bertanding.

Kongres ASTAF dan ISTAF dijadual berlangsung serentak pada 9 Disember ini di Bangkok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.