
JOHOR BAHRU, 27 Oktober – Polis Johor berjaya menyelesaikan 16 kes ugutan jenayah dan khianat menggunakan cat serta api yang dikaitkan dengan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau “along” di sekitar Johor Bahru dan Kluang, susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun.
- Suspek ditahan pada 8 Oktober; ditahan reman hingga 28 Oktober dan akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada tarikh sama.
- Siasatan: suspek dipercayai aktif sejak September, menyimbah cat, membakar dan menampal nota ugutan; upah antara RM200 hingga RM400.
- Barangan dirampas termasuk dua motosikal, telefon bimbit, tukul besi, nota ugutan, pemetik api dan pakaian suspek.
- Suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi ujian air kencing awal positif dadah jenis amfetamina.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan pada 8 Oktober lalu di sekitar Johor Bahru kerana disyaki menjadi dalang kepada sindiket berkenaan.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai mula aktif sejak September lalu dengan menyimbah cat, menggunakan api dan menampal nota ugutan di rumah mangsa. Suspek dipercayai menerima upah antara RM200 hingga RM400 bagi setiap perbuatan khianat,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis turut merampas dua buah motosikal, sebuah topi keledar, tiga nota ugutan, sebuah telefon bimbit, sebatang tukul besi, sepasang pakaian, sepasang selipar hitam dan sebuah pemetik api yang dipercayai digunakan suspek.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis amfetamina.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 28 Oktober bagi membantu siasatan dan akan dituduh di Mahkamah Johor Bahru pada tarikh sama.
“Sebanyak 16 kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan pertuduhan telah diberikan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ab Rahaman berkata, polis berjaya menumpaskan 135 kumpulan yang terbabit dalam kegiatan khianat di seluruh Johor dari 2023 hingga September 2026, manakala 214 ahli kumpulan telah dituduh di mahkamah.
“Polis Kontinjen Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam apa juga perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan menggugat ketenteraman awam di negeri Johor.
“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan sindiket along amat dialu-alukan bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah ini,” menurutnya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan sindiket along boleh menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-279 2095 atau Bilik Gerakan di 07-221 2999.