Jenazah anggota Maritim Malaysia selamat dikebumi

Jenazah anggota Maritim Malaysia, Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan selamat dikebumi

KUALA NERANG, 27 Oktober – Jenazah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41 tahun, yang maut ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, di sini, pada pukul 9.45 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maritim Malaysia mengadakan istiadat penghormatan terakhir sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota.
  • Solat jenazah diimamkan di masjid, kira-kira 500 hadir termasuk pegawai, anggota, keluarga dan penduduk setempat.
  • Dalam operasi, bot dipercayai terlanggar struktur konkrit; tiga anggota cedera, sembilan PATI dan dua tekong ditahan.

Pengebumian Allahyarham disempurnakan dengan istiadat penghormatan terakhir oleh Maritim Malaysia sebagai mengenang jasa dan pengorbanannya dalam menjalankan tugas demi keselamatan perairan negara.

Terdahulu, jenazah disolatkan di masjid berkenaan sebaik tiba dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, selepas proses bedah siasat selesai. Solat jenazah diimamkan Mohd Izhar Zakaria.

Kira-kira 500 orang, terdiri daripada pegawai dan anggota Maritim Malaysia, ahli keluarga serta penduduk setempat, hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir ialah dua anak Allahyarham, Rayyan Shakimi, 14 tahun dan Muhammad Rizqy Shazarin, 11 tahun.

Selesai pengebumian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti Allahyarham kepada agensi serta negara.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Isnin, bot yang dinaiki lima anggota Maritim Malaysia dipercayai terlanggar struktur konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, berhampiran Kuala Perlis, ketika operasi menahan bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Allahyarham, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis, disahkan meninggal dunia selepas ditemukan mengalami kecederaan serius yang dipercayai pada bahagian kepala. Insiden itu turut mengakibatkan tiga lagi anggota cedera.

Dalam operasi sama, Maritim Malaysia menahan sembilan PATI warga Myanmar, terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita, serta dua individu yang dipercayai bertindak sebagai tekong bot berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.