
KUALA LUMPUR, 22 November – Skuad hoki wanita kebangsaan kembali menemui rentak kemenangan apabila menundukkan Korea Selatan 3-1 dalam aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2026 di Bhopal, India, pada Ahad.
- Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad buka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33.
- Seunghwa Mun segera menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.
- Nuramirah Syakirah Zulkifli meledak gol padang minit ke-38 dan Siti Nur Irdina selesaikan pada minit ke-60 melalui penalti.
- Jepun pimpin carta, India kedua; China dan Malaysia kongsi empat mata, Malaysia di tangga keempat dan akan berdepan Jepun Selasa.
Kemenangan penting itu membolehkan skuad Speedy Tigress meraih tiga mata berharga untuk mengumpul empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga keempat daripada enam pasukan yang bersaing.
Selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama, Malaysia akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-33.
Bagaimanapun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Seunghwa Mun, juga hasil pukulan sudut penalti, tiga minit kemudian.
Tidak menunggu lama untuk memberikan reaksi, Speedy Tigress kembali berada di depan apabila Nuramirah Syakirah Zulkifli meledak gol padang pada minit ke-38 bagi memastikan Malaysia mendahului 2-1.
Skuad negara terus mempertahankan kelebihan itu sebelum Siti Nur Irdina Mohd Nor melengkapkan kemenangan bergaya menerusi pukulan penalti pada minit ke-60 untuk mengesahkan keputusan 3-1.
Sementara itu, Jepun terus mengungguli carta kedudukan dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut, diikuti India di tangga kedua dengan enam mata.
China pula menghuni kedudukan ketiga dengan empat mata, berkongsi jumlah mata bersama Malaysia yang berada di tangga keempat.
Korea Selatan masih kempunan mengutip sebarang mata selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut, manakala Thailand menghuni tangga tercorot selepas mengharungi dua perlawanan.
Speedy Tigress seterusnya bakal berdepan ujian getir apabila dijadual menentang pendahulu liga, Jepun, dalam aksi keempat pada Selasa. – BERNAMA