
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kecederaan luaran di beberapa bahagian tubuh Allahyarham Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis, dipercayai bukan disebabkan pelakuan sendiri sebaliknya, akibat trauma tumpul.
- Pakar Perunding Perubatan Forensik HCTM mengesahkan terdapat kecederaan luaran selepas bedah siasat.
- D5 JSJ Bukit Aman menyiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan menyebabkan cedera parah.
- Laporan lengkap bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperolehi; PDRM menunggu maklumat daripada hospital.
- Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti anggota terlibat; PDRM menegaskan ketelusan dan tiada unsur 'cover up'.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mengesahkan kecederaan luaran tersebut selepas menjalankan bedah siasat.
Sehubungan itu, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan kes mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan bersalah atau memaksa harta dipulangkan.
“Klasifikasi ini dibuat selepas hasil rakaman percakapan Pakar Perunding Perubatan Forensik HCTM yang menjalankan bedah siasat, mengesahkan terdapat kecederaan luaran di beberapa bahagian tubuh si mati di mana corak kecederaan tersebut adalah selari dengan trauma tumpul bukan akibat pelakuan sendiri,” katanya menerusi kenyataan.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Bagaimanapun, Datuk M. Kumar berkata laporan lengkap bagi mengesahkan punca kematian Allahyarham Noorizwan masih belum diperolehi dan PDRM masih menunggu maklumat mengenainya daripada pihak hospital.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam pengendalian serta pengurusan mangsa semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa elemen ‘cover up’ demi memastikan keadilan jenayah ditegakkan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
PDRM komited dalam memastikan ketelusan serta integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa berpihak kepada mana-mana individu selain, tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku.
Terdahulu, Allahyarham Noorizwan ditahan di IPD Cheras bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Allahyarham dirujuk ke HCTM, Cheras pada 30 September lalu, untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.