
KUALA LUMPUR, 20 November –Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) memperkukuh kerjasama dalam bidang perbankan pusat dan pembangunan sektor kewangan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
- Kerjasama merangkumi kewangan Islam, sistem pembayaran rentas sempadan, transaksi mata wang tempatan, serta inovasi dan pendigitalan kewangan.
- Ia membolehkan kedua-dua bank pusat berkongsi kepakaran, meneroka peluang baharu dan menangani cabaran kewangan secara bersama.
- Kerjasama disasarkan memperkukuh institusi dan infrastruktur kewangan serta menyokong integrasi kewangan serantau demi manfaat rakyat.
Kerjasama itu merangkumi kewangan Islam, sistem pembayaran rentas sempadan, transaksi mata wang tempatan serta inovasi dan pendigitalan kewangan.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perjanjian itu dimeterai pada masa yang tepat ketika landskap ekonomi dan kewangan global semakin kompleks.
“Kerjasama berkenaan membolehkan kedua-dua bank pusat berkongsi kepakaran, meneroka peluang baharu serta menangani cabaran kewangan secara bersama,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Gabenor BSP, Eli M. Remolona Jr. berkata, kerjasama tersebut diharap dapat memperkukuh institusi dan infrastruktur kewangan, selain memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua bank pusat turut menyasarkan kerjasama itu dapat menyokong integrasi kewangan serantau yang lebih mendalam.