Perselisihan parkir cetus pergaduhan bersenjata di Cheras

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 November – Dua lelaki warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh menggunakan senjata susulan perselisihan faham berkaitan parkir kenderaan di Taman Connaught, Cheras, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman CCTV menunjukkan beberapa individu lain dipercayai terbabit dalam kejadian.
  • Senjata yang digunakan dipercayai sebatang besi; beberapa suspek mengalami kecederaan di kepala dan muka.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan; polis giat mengesan individu lain yang dipercayai berkaitan.

Penahanan itu disahkan Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daus.

Kejadian kira-kira pukul 4.00 pagi tadi dilaporkan berlaku di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Connaught.

“Susulan laporan diterima, sepasukan polis daripada Bahagian D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan kedua-dua lelaki berusia lingkungan lewat 20-an dan awal 30-an kira-kira pukul 5.00 pagi di Jalan 9, Taman Len Seng.

“Kedua-dua suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka sebelum dibawa mendapatkan rawatan.

“Semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati beberapa individu lain turut dipercayai terbabit dalam kejadian itu, manakala senjata yang digunakan dipercayai sebatang besi,” katanya menerusi kenyataan.

Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 23 November bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.