
GUA MUSANG, 20 November – Lebih 5,000 penduduk orang asli serta pengguna jalan lain di Tanah Tinggi Lojing, di sini terpaksa melalui jalan utama yang merekah dan mengalami runtuhan tanah akibat musim tengkujuh sejak hampir sebulan lalu.
- Desakan agar JKR kenal pasti kawasan berisiko dan ambil tindakan awal supaya rekahan tidak bertambah serius dan mengelakkan runtuhan lebih besar.
- Gesaan segera sediakan laluan alternatif atau lencongan serta pertimbangkan laluan sehala untuk lindungi pengguna dan kurangkan risiko kemalangan.
- Pemantauan JKR telah dijalankan, tanda amaran dipasang, namun laluan masih dibuka tanpa alternatif; tindakan segera wajib untuk keselamatan.
Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, pihak berkuasa perlu mengenal pasti kawasan berisiko di lokasi terjejas serta mengambil langkah awal bagi mengelakkan keretakan jalan menjadi lebih serius sehingga mengakibatkan runtuhan lebih besar.
Menurut Bidi, kejadian jalan merekah dan tanah runtuh itu disedari pengguna jalan sejak 21 Oktober lalu.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan, selain mengenal pasti langkah awal untuk mengelakkan keruntuhan tanah yang lebih serius.
“Kejadian tanah runtuh dan rekahan jalan raya yang berulang setiap kali musim tengkujuh memerlukan kepakaran serta tindakan proaktif JKR bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang melalui laluan Gua Musang ke Ipoh,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Kampung Hanir Razak Rongging menggesa pihak berkuasa supaya segera mencari laluan alternatif bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk kehilangan nyawa.
“Hasil tinjauan sendiri mendapati keadaan laluan berkenaan memerlukan perhatian segera dan tindakan pencegahan tidak seharusnya ditangguhkan sehingga berlaku kejadian lebih buruk,” katanya.
Bagi penduduk orang asli Jamly Ahan, rekahan pada permukaan jalan berisiko menyebabkan kejadian lubang benam atau mendapan tanah, terutama ketika hujan berterusan.
“Keadaan itu dibimbangi menjadi lebih buruk sekiranya dilalui kenderaan berat seperti lori balak, sekali gus meningkatkan risiko keruntuhan jalan.
“Saya berharap kerajaan dapat mengambil pendekatan mengutamakan keselamatan dengan menyediakan laluan alternatif atau lencongan, termasuk mempertimbangkan pelaksanaan laluan sehala bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Terdahulu, pada 21 Oktober JKR mengesan rekahan jalan sepanjang 30 meter susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Lojing-Gua Musang (FT185) Seksyen 84.15 berhampiran Yayasan Albarakah di Tanah Tinggi Lojing.
Pengarah JKR Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, kejadian itu membabitkan kawasan runtuhan sepanjang 20 meter dengan kedalaman 30 meter.
“Lebar jalan di lokasi kejadian ialah 10.40 meter dan kerosakan turut dikesan pada komponen sistem saliran cerun.
“Kerja-kerja pemantauan telah dijalankan dan Tanda Maklumat Pemberitahuan (TMP) telah dipasang di tapak,” katanya.
Bagaimanapun laluan berkenaan masih dibuka kepada semua kenderaan dan tiada laluan alternatif disediakan setakat ini.