Malaysia perkukuh daya saing, naik lapan anak tangga pada 2026

Foto FB Shamsul Azri bin Abu Bakar

SHAH ALAM, 28 Oktober – Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia 2026 (World Competitiveness Ranking 2026) apabila melonjak lapan anak tangga, menjadikan kedudukan terkini di tangga ke-15 daripada keseluruhan 70 ekonomi dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecekapan kerajaan meningkat ketara, melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia.
  • Indikator birokrasi menunjukkan kemajuan signifikan, meningkat daripada tempat ke-14 kepada tempat keenam dunia.
  • 1,582 projek RKB didaftarkan, 496 selesai, jimat kos pematuhan RM3.21 bilion; sasaran kedudukan ke-12 menjelang 2030.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu dipacu oleh peningkatan kecekapan kerajaan yang melonjak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14 dunia.

Prestasi itu turut dicerminkan menerusi indikator birokrasi negara yang menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila kedudukan Malaysia meningkat daripada tempat ke-14 kepada tempat keenam dunia.

“Lonjakan yang dicapai dalam tempoh dua tahun ini telah memulihkan keyakinan pelabur terhadap negara kita. Sehingga September 2026, prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga September mencatatkan perkembangan yang amat memberangsangkan.

“Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.91 trilion, manakala eksport berkembang sebanyak 34 peratus kepada RM1.571 trilion.

“Pada masa yang sama, lebihan dagangan negara melonjak sebanyak 115.7 peratus kepada RM232 bilion,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026, di sini.

Dalam pada itu, kerajaan menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2030, menerusi pelaksanaan agenda reformasi yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Aspirasi kita seterusnya adalah untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12 terbaik dari segi ekonomi dan daya saing menjelang tahun 2030.

“Saya yakin kita mampu mencapai matlamat ini kerana kita telah membuktikan bahawa banyak kejayaan dapat dicapai apabila kita bersatu dan bergerak seiring,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 1,582 projek dan program di bawah inisiatif RKB telah didaftarkan, dengan 496 daripadanya berjaya disiapkan, sekali gus mencatatkan penjimatan kos beban pematuhan mencecah RM3.21 bilion.

Menurut Tan Sri Shamsul Azri, komitmen terhadap reformasi itu akan terus diperkasa melalui kerjasama strategik antara kementerian dengan kerajaan negeri, agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih responsif, berkesan dan mesra rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.