
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilihat mampu meningkatkan daya tahan industri serta memperluas integrasi strategik antara Malaysia dan Singapura.
- MIDA menganjurkan Acara Pembekal JS-SEZ Micron-OCBC untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menaikkan keupayaan pembekal tempatan.
- JS-SEZ berperanan sebagai platform strategik bagi integrasi lebih mendalam Malaysia-Singapura, mempercepat penyetempatan dan menarik pelaburan langsung asing berkualiti.
- Micron dan MIDA komited membina rantaian bekalan tangkas dan berdaya tahan melalui piawaian kualiti tinggi, pematuhan dan kerjasama strategik.
Usaha itu diterajui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi penganjuran Acara Pembekal JS-SEZ Micron-OCBC yang menghimpunkan pemain utama industri semikonduktor bagi memperkukuh kerjasama strategik dan keupayaan pembekal tempatan.
MIDA dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan mengetengahkan usaha bersama syarikat peneraju industri termasuk Micron Technology dan OCBC bagi mempertingkat daya tahan, penyetempatan serta daya saing jangka panjang industri semikonduktor negara.
Menurut MIDA, Malaysia mengambil pendekatan seimbang dalam mendepani rantaian bekalan global yang semakin kompleks dan dinamik dengan terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) strategik serta berkualiti tinggi.
Pada masa sama, usaha turut dipergiat bagi menggalakkan penyertaan domestik dan pelaburan semula yang lebih besar merentas rantaian nilai semikonduktor.
“JS-SEZ dilihat sebagai platform strategik untuk memacu objektif tersebut dengan membolehkan integrasi lebih mendalam antara Malaysia dan Singapura, selain memperkukuh keupayaan pembekal tempatan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, daya tahan rantaian bekalan masa kini tidak lagi bergantung kepada skala semata-mata, sebaliknya dibina berasaskan kepercayaan dan kerjasama strategik.
“Melalui JS-SEZ, MIDA memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan rantaian bekalan semikonduktor yang diyakini dengan menghubungkan peneraju global kepada keupayaan tempatan, mempercepat usaha penyetempatan serta membantu syarikat tempatan berkembang dan bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Korporat Operasi Pemasangan dan Ujian NAND Micron Technology, Amarjit Sandhu berkata, syarikat itu komited memperkukuh keupayaan pembekal di Malaysia sambil mengekalkan standard tertinggi dari segi kualiti, pematuhan dan operasi bertanggungjawab.
Menurut beliau, pertumbuhan bersama rakan strategik penting dalam membina rantaian bekalan yang tangkas, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan teknologi masa depan yang semakin berkembang.
Program yang diadakan seiring dengan SEMICON Southeast Asia 2026 itu turut menyerlahkan peranan strategik MIDA dalam meletakkan Malaysia sebagai hab semikonduktor utama di rantau ini.