
KUALA LUMPUR, 8 Mei – RHB Bank menyediakan pakej komprehensif kemudahan pembiayaan dan bantuan penangguhan bayaran bagi menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengurus kesan ketidaktentuan ekonomi global serta gangguan rantaian bekalan.
- Pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000 pada kadar 3.75% setahun melalui SME SRF.
- Fasiliti disokong jaminan sehingga 80% oleh CGC atau SJPP untuk PKS yang mempunyai cagaran terhad.
- Laluan pantas bagi pelanggan terpilih dan permohonan SME SRF dibuka mulai 15 Mei 2026.
- Program bersasar tawar penjadualan, penstrukturan semula, moratorium enam bulan dan lanjutan tempoh pinjaman hingga lima tahun.
Sejajar Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), bank itu menggunakan pendekatan dua hala bagi menyediakan sokongan mudah tunai serta sokongan berstruktur untuk memperkukuh daya tahan operasi perniagaan.
Di bawah kemudahan tersebut, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000 pada kadar 3.75 peratus setahun.
“Fasiliti ini disokong jaminan sehingga 80 peratus oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya untuk membantu PKS yang mempunyai cagaran terhad.
”Bagi mempercepatkan akses kepada bantuan, RHB turut memperkenalkan laluan pantas untuk pelanggan terpilih bagi membolehkan kelulusan pembiayaan di bawah SRF dibuat dengan lebih cepat,” menurut RHB dalam satu kenyataan, hari ini.
Permohonan bagi SME SRF RHB akan dibuka mulai 15 Mei 2026.
Sebagai pelengkap, program bantuan bersasar turut diperkenalkan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan awal dan proaktif untuk pelanggan yang berdepan kesukaran pembayaran balik.
Di bawah program ini, pengubahsuaian pinjaman secara khusus ditawarkan kepada PKS yang layak termasuk lanjutan tempoh pinjaman sehingga tiga tahun, atau sehingga lima tahun bagi pelanggan terpilih.
Bagi perniagaan yang berdepan kekangan aliran tunai lebih serius, laluan penjadualan semula dan penstrukturan semula menawarkan moratorium bayaran pokok selama enam bulan bagi pinjaman berjangka, selain penukaran overdraf dan pembiayaan perdagangan kepada pinjaman berjangka lima tahun bagi meningkatkan kecairan.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata kumpulan itu telah menstruktur semula proses penilaian kreditnya dengan memberi keutamaan kepada kecepatan dan fleksibiliti supaya cabaran geopolitik tidak menjejaskan pertumbuhan perniagaan.
“Fokus kami adalah memastikan sokongan diberikan tepat pada masanya sambil terus bekerjasama dengan PKS ketika mereka berusaha menstabilkan operasi, menyesuaikan diri dan berkembang,” katanya.