
NEW YORK, 26 September – Malaysia menggesa pembaharuan sistem kewangan antarabangsa, supaya lebih mencerminkan kepentingan dan realiti negara membangun.
- Sistem pelbagai hala kini tertekan oleh ketegangan geopolitik dan konflik, serta negara membangun terus berdepan cabaran ekonomi global.
- Menggesa reformasi institusi kewangan antarabangsa, pengukuhan perdagangan multilateral, tindakan iklim serta kerjasama sains, teknologi, inovasi dan ICT.
- Perkukuh pembangunan kapasiti melalui program seperti MTCP; sokong pembaharuan PBB berteraskan keterangkuman, keadilan dan kebertanggungjawaban.
Gesaan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan 77 (G77) dan China, di sini.
Malaysia berpandangan sistem pelbagai hala ketika ini berdepan tekanan besar, susulan ketegangan geopolitik dan konflik berpanjangan.
Pada masa sama, negara membangun terus berdepan cabaran ekonomi global dalam struktur kewangan yang masih ketinggalan berbanding negara maju.
“Malaysia menyeru reformasi institusi kewangan antarabangsa, usaha memperkukuh sistem perdagangan multilateral serta tindakan iklim, selain kerjasama dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan ICT.
“Keupayaan kecerdasan buatan (AI) generasi baharu juga perlu dipertingkatkan demi memajukan Agenda 2030 dan menyokong negara Selatan Global,” katanya.
Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi ucapan intervensinya juga menyeru kerjasama daripada aspek pembangunan kapasiti.
Beliau memetik inisiatif Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) sebagai contoh solidariti dalam perkongsian keupayaan teknikal dan kepakaran dalam pakatan G77.
Sebarang pembaharuan sistem PBB perlu memperkukuh keupayaannya membantu negara anggota, khususnya negara membangun.
Malaysia menyokong pendekatan baharu terhadap multilateralisme yang berteraskan keterangkuman, keadilan dan kebertanggungjawaban.