
SERDANG, 5 September – Peluasan kawasan penanaman nanas sehingga lebih 5,000 ekar atau kira-kira 2,000 hektar, sasaran Pertubuhan Pengusaha Nanas SG1 Malaysia dalam tempoh enam tahun.
- KPKM menyasarkan nilai eksport nanas sebanyak 4,000 kontena bernilai RM2 bilion menjelang Januari 2028.
- Pertubuhan Pengusaha Nanas SG1 Malaysia dirasmikan semasa MAHA 2026; menyatukan pengusaha dan menghubungkan mereka dengan agensi, penyelidikan, pelabur dan pasaran eksport.
- Pelancaran semula kamus I.H. Burkill dikemas kini oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia sebagai rujukan bagi penyelidikan dan dasar agromakanan.
- Persatuan Industri Herba sedang ditubuhkan untuk menghimpun pemain industri dan memperkukuh pembangunan sektor herba negara, mencerminkan komitmen KPKM.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan berkata usaha itu selari dengan hala tuju industri nanas negara yang ditetapkan kementerian dengan sasaran nilai eksport produk nanas mencapai 4,000 kontena bernilai RM2 bilion menjelang Januari 2028.
Pertubuhan Pengusaha Nanas SG1 Malaysia dirasmikan oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Khamis.
“Penubuhan Pertubuhan Pengusaha Nanas SG1 Malaysia sebagai langkah strategik untuk memperkukuh industri nanas negara melalui penyatuan pengusaha dan penggembelengan usaha secara lebih tersusun.
“Pertubuhan ini juga akan menjadi platform yang menghubungkan pengusaha dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, agensi kerajaan, institusi penyelidikan, pemain industri, pelabur dan pasaran dengan tumpuan membangunkan industri SG1 daripada ladang hingga pasaran eksport serta memastikan hasil pengusaha mempunyai pasaran, nilai dan daya saing,” menurut kenyataan itu.
Majlis perasmian itu turut menyaksikan peluncuran semula karya A Dictionary of the Economic Products of the Malay Peninsula in Two Volumes karya I.H. Burkill, yang pertama kali diterbitkan pada 1935.
“Peluncuran semula ini menandakan usaha penting dalam memelihara dan memperkaya khazanah ilmu berkaitan tumbuhan, haiwan dan sumber mineral yang mempunyai nilai ekonomi di Semenangjung tanah air.
“Edisi yang dikemas kini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, dilaksanakan di bawah Inisiatif Projek Pemacu Pertanian: Produk Herba Bernilai Tinggi dan menjadi sumber rujukan penting bagi penyelidikan, inovasi, pembangunan industri serta penggubalan dasar agromakanan,” ujar kementerian itu.
Seiring dengan usaha tersebut, Persatuan Industri Herba juga kini dalam proses penubuhan untuk menjadi platform menghimpunkan pemain industri serta memperkukuh pembangunan sektor herba negara.
Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPKM dalam memperkukuh sektor agromakanan negara melalui pembangunan industri yang dipacu oleh pengusaha melalui pemerkasaan dan inovasi bidang ilmu serta penyelidikan.