Status darurat Serian: JPBN pantau IPU selama 3 hari

Operasi tempat kerja dibenarkan dengan langkah pencegahan kesihatan

KUCHING, 5 September – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan memantau tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian dalam tempoh tiga hari ini, sebelum sebarang cadangan berkaitan status darurat dikemukakan kepada Premier Sarawak dan Perdana Menteri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai dinasihatkan mengelak aktiviti luar; jika tidak dapat dielakkan, pakai pelitup hidung dan mulut.
  • Pelitup N95 atau pelitup tiga lapis digalakkan untuk warga emas, kanak-kanak dan golongan berisiko.
  • Pejabat kerajaan, swasta, industri dan tapak pembinaan boleh beroperasi dengan langkah pencegahan kesihatan.
  • Yang di-Pertuan Agong perkenankan pengisytiharan darurat Serian selepas bacaan IPU melebihi 500 berdasarkan nasihat agensi.

Pengerusi JPBN Sarawak merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemantauan itu sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya bacaan IPU meningkat melebihi 500.

Menurut beliau, arah tiupan angin dan punca titik panas merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi bacaan IPU.

“Pemantauan ini dilakukan sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status darurat di Serian,” katanya dalam kenyataan media.

Datuk Amar turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar.

Sekiranya pendedahan kepada udara di luar tidak dapat dielakkan, gunakan pelitup hidung dan mulut.

Penggunaan pelitup hidung dan mulut jenis N95 atau sekurang-kurangnya pelitup jenis tiga lapis digalakkan bagi kumpulan berisiko terutama warga emas, kanak-kanak dan golongan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu.

Beliau berkata, pejabat kerajaan, swasta dan tempat kerja lain di kawasan terjejas, termasuk sektor industri, perladangan, tapak pembinaan dan kuari boleh meneruskan operasi, namun perlu mengambil langkah pencegahan kesihatan.

JPBN Sarawak akan terus memantau rapat situasi jerebu di Serian dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa, di samping bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian selepas bacaan IPU melebihi paras 500.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan terbabit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.