
KUALA LUMPUR, 5 September – Pakar perubatan tetap bakal ditempatkan di beberapa hospital di Sabah seperti Kota Marudu dan Beaufort, sebagai langkah mengatasi kekurangan tenaga pakar di negeri berkenaan.
- KKM sasar 3–5 tahun merapatkan jurang kepakaran Sabah melalui pemerkasaan Kluster Sandakan dan Tawau setaraf Kota Kinabalu, termasuk perkhidmatan kardiotorasik.
- Anak tempatan graduan Institut Latihan KKM diserap tetap; pelarasan gaji SSPA 15%, Elaun Perpindahan penuh, dan naik taraf kuarters petugas.
- Perluasan Program Hospital Services Outsourcing dengan HUMS, 15 perkhidmatan kritikal termasuk dialisis dan imbasan, untuk selesaikan backlog serta pendekkan masa menunggu.
Komitmen berkenaan dinyatakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook dengan menyatakan usaha berkenaan melengkapkan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan penggiliran pakar ke kawasan luar bandar Sabah.
“KKM menyasarkan tiga hingga lima tahun merapatkan jurang kepakaran di Sabah menerusi pemerkasaan Kluster Sandakan dan Tawau setaraf Kota Kinabalu merangkumi perkhidmatan kardiotorasik.
“Anak tempatan Sabah yang merupakan lulusan Institut Latihan KKM kini diserap secara tetap menerusi kuasa autonomi perjawatan, disusuli pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 15 peratus, kelulusan Elaun Perpindahan Penuh bagi pegawai bertukar status tetap dan semakan insentif Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP).
“Selain itu, tindakan segera menaik taraf kuarters petugas di Lahad Datu, Beaufort dan Kota Marudu juga akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,”katanya dalam hantaran itu.
Beliau turut menyatakan kementerian turut memperluas inisiatif Program Hospital Services Outsourcing kepada sektor swasta secara agresif bertujuan menangani isu kesesakan lobi dan wad hospital awam.
“Skop berkenaan bakal diperluas kepada 15 perkhidmatan kritikal merangkumi rawatan dialisis, imbasan diagnostik serta misi pembedahan berkala bagi menyelesaikan backlog pesakit dan memendekkan tempoh menunggu secara drastik.
“Langkah itu diperkemas menerusi kolaborasi strategik bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) untuk memanfaatkan sepenuhnya setiap kapasiti perubatan yang ada di Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan 53 projek pembangunan kesihatan bernilai RM1.56 bilion bakal dilaksana mengikut Rancangan Malaysia Ke-13, manakala RM75.5 juta bagi pembaikan 132 klinik daif serta suntikan RM1 bilion untuk Rekod Perubatan Elektronik (EMR).