
PUTRAJAYA, 23 Oktober – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat insiden penstriman langsung serangan terhadap seorang guru di sebuah sekolah swasta di Kuching yang dipercayai disiarkan menerusi Facebook.
- Fahmi menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat lanjut sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.
- Beliau menyatakan kebimbangan berikutan kejadian di negara lain apabila platform gagal menghalang penstriman langsung keganasan.
- Tular dakwaan seorang pelajar menstrim serangan menggunakan senjata tajam terhadap seorang guru hingga menyebabkan kecederaan di sebuah sekolah swasta.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata beliau menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan lanjut sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung insiden itu.
“Pihak MCMC sedang menjalankan siasatan berkaitan isu ini. Sebelum ini, kita melihat beberapa kejadian di negara lain apabila platform gagal menghalang penstriman langsung tindakan keganasan.
“Saya serahkan kepada pihak MCMC untuk menyiasat dan mengeluarkan kenyataan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pelajar melakukan penstriman langsung ketika menyerang seorang guru menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di sebuah sekolah swasta di Kuching.