Hujan lebat: 20 rumah di Butterworth terjejas banjir kilat

Kejadian pokok tumbang di Balik Pulau tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun menyebabkan sebahagian struktur rumah dan sebuah kereta mengalami kerosakan./ Foto JBPM

GEORGE TOWN, 25 Oktober – Hujan lebat sejak petang semalam hingga awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai dan bahagian pulau di Pulau Pinang dinaiki air.

RINGKASAN BERITA AI
  • 20 rumah di Taman Cantek terjejas selepas parit berhampiran melimpah, air naik sekitar satu kaki.
  • Banjir kilat di Jalan Jelawat, Seberang Jaya merekodkan paras air kira-kira satu kaki sebelum surut tidak lama kemudian.
  • Pokok durian tumbang di Balik Pulau rosakkan sebahagian struktur rumah dan sebuah kereta; operasi pemotongan dan pembersihan dijalankan, tiada kecederaan.

Kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di Taman Cantek, Butterworth dan Jalan Jelawat, Seberang Jaya, manakala kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di Balik Pulau.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sekurang-kurangnya 20 rumah di Taman Cantek terjejas selepas air dari parit berhampiran melimpah sehingga mencapai paras kira-kira satu kaki sejak tengah malam tadi.

Menurutnya, pemantauan Pasukan Kawalan Operasi (PKO) mendapati air mula surut sebelum operasi di kawasan berkenaan ditamatkan kira-kira sejam kemudian.

“Pasukan bomba turut menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir di Jalan Jelawat, Seberang Jaya, kira-kira pukul 3.24 pagi tadi.

“Pemeriksaan mendapati air naik sehingga paras satu kaki sebelum surut tidak lama kemudian,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, kejadian pokok tumbang di Balik Pulau tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun menyebabkan sebahagian struktur rumah dan sebuah kereta mengalami kerosakan.

John berkata, pokok durian setinggi kira-kira 20 kaki dengan ukur lilit dianggarkan 1.5 meter itu tumbang akibat hujan lebat.

Menurutnya, anggota bomba dengan kerjasama kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan sisa pokok sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 2.43 pagi.

Setakat pagi ini, tiada penduduk dilaporkan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.