
YAN, 25 Oktober – Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah dilanda banjir kilat, sekali gus menyaksikan pembukaan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
- Empat kampung di Mukim Gurun terjejas: Kampung Kepala Bukit, Kampung Guar Nenas, Kampung Guar Stesen dan Kampung Sungai Bongkok.
- PPS Surau As Saadiah dibuka pukul 10 pagi, menempatkan 24 penduduk daripada tujuh keluarga.
- PPS di Sekolah Kebangsaan Teroi dibuka susulan limpahan sungai; Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras terjejas.
- APM Kedah memantau situasi, menggesa penduduk berwaspada, peka paras air dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta sistem amaran awal.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, di daerah Kuala Muda, empat kampung di Mukim Gurun terjejas iaitu Kampung Kepala Bukit, Kampung Guar Nenas, Kampung Guar Stesen dan Kampung Sungai Bongkok.
“PPS Surau As Saadiah di Kampung Guar Nenas dibuka pada pukul 10 pagi tadi bagi menempatkan penduduk terjejas.
“Seramai 24 penduduk daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Teroi di daerah Yan, pagi tadi, susulan limpahan air sungai berhampiran yang menyebabkan beberapa kampung, termasuk Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras, dilanda banjir.
Bagaimanapun, jumlah penduduk yang dipindahkan ke PPS di daerah Yan masih dalam proses bancian.

“APM Kedah akan terus memantau perkembangan situasi dari semasa ke semasa dan bersiap siaga untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas terpelihara.
“Penduduk, khususnya di kawasan berisiko, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, peka terhadap perubahan cuaca dan paras air serta mematuhi arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu lagi.
APM mengingatkan agar orang ramai mengambil perhatian terhadap sistem amaran awal bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.