PGA rampas 3 kg dadah, 10 kotak vape kanabis dihantar melalui kurier

Dadah dirampas diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut./ Foto PGA

RANTAU PANJANG, 25 Oktober – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas dadah disyaki ganja seberat tiga kilogram, bunga ganja seberat 56 gram serta 10 kotak rokok elektronik mengandungi minyak kanabis dalam serbuan di sebuah premis kurier di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi PGA dilakukan berdasarkan maklumat pengadu dan melibatkan Strike Force Kompeni C, Batalion 9 PGA di premis kurier Line Clear Express.
  • Rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk pemeriksaan lanjut; semua barang diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas.
  • Tiada tangkapan dibuat; rakaman CCTV disemak dan pemantauan sepanjang sempadan dipergiat bagi membanteras penyeludupan dadah.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain dalam satu kenyataan, memaklumkan rampasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dianggarkan bernilai RM13,429.

“Dalam operasi kira-kira pukul 1.30 tengah hari, anggota Strike Force Kompeni C, Batalion 9 PGA bertindak berdasarkan maklumat pengadu sebelum pergi ke premis Line Clear Express di Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal membawa kepada penemuan sebuah beg plastik hitam yang mengandungi tujuh bungkusan disyaki berisi dadah.

Kesemua bungkusan itu kemudian dibawa ke Komtak Taman Bakti, Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut.

Foto PGA

Hasil pemeriksaan mendapati rampasan merangkumi ganja seberat tiga kilogram yang dianggarkan bernilai RM9,000, bunga ganja seberat 56 gram bernilai RM1,429 serta 10 kotak rokok elektronik mengandungi minyak kanabis bernilai RM3,000.

Tiada tangkapan dibuat dalam operasi berkenaan.

Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

Pemantauan turut dipergiatkan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah di sepanjang kawasan sempadan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.