
KUALA LUMPUR, 28 Oktober –Malaysia perlu memperkukuh keupayaan membangunkan dan memiliki teknologi sendiri bagi meningkatkan nilai ekonomi serta mengukuhkan kedudukan negara dalam industri teknologi global.
- Industri perlu menggunakan bahan dengan lebih cekap sambil mengekalkan prestasi untuk memenuhi keperluan aplikasi yang semakin canggih.
- Inovasi tidak semestinya penemuan baru; ia termasuk penambahbaikan bahan sedia ada dan pembangunan aplikasi baharu.
- Teknologi tempatan berkomersial mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Perkukuh kerjasama antara penyelidik dan industri bagi pengesahan prestasi, keyakinan pasaran dan pengkomersialan lebih pantas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, usaha itu penting bagi membolehkan Malaysia beralih daripada sekadar menjadi pengguna dan pengeluar kepada pencipta teknologi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Seiring dengan perkembangan elektrifikasi dan teknologi baharu, industri perlu mencari kaedah untuk menggunakan bahan dengan lebih cekap, selain mengekalkan prestasi yang diperlukan bagi memenuhi keperluan aplikasi yang semakin canggih.
“Inovasi tidak semestinya melibatkan penemuan bahan yang sepenuhnya baharu. Sebaliknya, inovasi juga boleh dicapai melalui penambahbaikan bahan sedia ada, peningkatan sifat dan prestasinya serta pembangunan aplikasi baharu bagi menangani cabaran industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perniagaan Vertex Material di sini hari ini.
Jelas beliau, pembangunan teknologi tempatan yang mempunyai nilai komersial berpotensi menjana nilai ekonomi lebih tinggi, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing negara dalam rantaian bekalan global.
Menerusi program itu, Vertex Material memeterai perjanjian pembekalan bernilai kira-kira AS$2.2 bilion bagi tempoh 15 tahun dengan Sky-Dweller Construction LLC, sekali gus meluaskan pasaran teknologi komposit kuprumnya ke India.
Kerjasama itu turut memperkukuh rangkaian perniagaan sedia ada di Amerika Syarikat dan Kanada, selain menyokong rancangan syarikat meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Menurut Chang Lih Kang, pencapaian itu mencerminkan potensi kepakaran kejuruteraan dan pembuatan tempatan dalam membangunkan teknologi bahan termaju yang mampu dikomersialkan.
“Pembangunan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa pengesahan prestasi, keyakinan pasaran dan kerjasama industri bagi membolehkan inovasi digunakan secara lebih meluas.
“Justeru, kerjasama lebih erat antara penyelidik dengan industri perlu diperkukuh bagi mempercepat proses pengkomersialan serta membuka laluan kepada syarikat tempatan untuk memasarkan hasil inovasi mereka di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.