
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Yayasan Sejahtera melancarkan Dana Pembangunan Sejahtera (SDF) bagi memperkukuh usaha membasmi kemiskinan menerusi pembiayaan jangka panjang yang lebih mampan.
- Fokus pada pembangunan keusahawanan mikro dan projek penjanaan pendapatan untuk komuniti berpendapatan rendah bandar dan luar bandar.
- Tumpuan kepada pembangunan kemahiran, peluasan akses pasaran dan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keupayaan ekonomi.
- Perlu pembiayaan kukuh serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan impak pembasmian kemiskinan berterusan.
- IDEP 2026 menekankan peralihan daripada bantuan jangka pendek kepada inisiatif berkekalan dan memperkukuh daya tahan isi rumah menghadapi kos sara hidup dan bencana.
Dana yang diwujudkan dengan kerjasama organisasi korporat itu menyasarkan komuniti berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar, khususnya melalui pembangunan keusahawanan mikro serta projek penjanaan pendapatan.
Inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, peluasan akses pasaran dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan keupayaan ekonomi golongan sasar.
Pengerusi Yayasan Sejahtera, Profesor Dr. Sulochana Nair berkata, pembiayaan yang kukuh serta kerjasama pelbagai pihak penting bagi memastikan program pembasmian kemiskinan mampu memberikan impak berterusan.
Menurutnya, penggunaan data berasaskan bukti dan peningkatan keupayaan pelaksana program juga perlu diberi perhatian bagi memastikan bantuan disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasar.
Sementara itu, usaha menangani kemiskinan di Malaysia perlu beralih daripada pendekatan bantuan jangka pendek kepada inisiatif yang mampu menghasilkan perubahan berkekalan.
Perkara itu antara rumusan Persidangan Hari Antarabangsa bagi Pembasmian Kemiskinan (IDEP) 2026 yang turut menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan isi rumah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan dan bencana banjir.
Persidangan anjuran Yayasan Sejahtera itu dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.