
BEIJING, 20 November – China menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang didakwa melampaui bidang kuasa kehakiman selepas mahkamah itu memutuskan bahawa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap etnik minoriti Rohingya.
- Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan operasi ketenteraan Myanmar 2017 merupakan satu bentuk genosid terhadap etnik Rohingya.
- ICJ mengarahkan pemulangan selamat pelarian Rohingya dan pampasan, manakala Setiausaha Agung PBB menggesa Myanmar membenarkan pemulangan.
- China mengekalkan hubungan rapat dengan Myanmar selepas rampasan kuasa 2021 dan menegaskan hakim China menjalankan tugas secara bebas.
Beijing mendakwa amalan sedemikian tidak membantu dalam usaha menyelesaikan pertikaian.
Kenyataan China itu menyusul keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang memutuskan bahawa operasi ketenteraan berdarah Myanmar terhadap etnik minoriti berkenaan pada 2017 merupakan satu bentuk genosid.
China merupakan antara rakan sekutu Myanmar yang masih mengekalkan hubungan rapat dengan negara itu selepas rampasan kuasa oleh Min Aung Hlaing pada 2021, yang menyebabkan negara-negara Barat memutuskan hubungan dengan negara Asia Tenggara berkenaan.
“China bimbang mengenai isu seperti tindakan melampaui bidang kuasa dan tafsiran yang diperluaskan, serta berpendapat bahawa amalan sedemikian tidak membantu dalam penyelesaian pertikaian,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun ketika ditanya mengenai keputusan ICJ dalam satu taklimat media.
“Masyarakat antarabangsa perlu berganding bahu dalam usaha ini bagi mengelakkan isu berkenaan menjadi semakin rumit,” tambahnya.
Salah seorang hakim ICJ merupakan warga China dan mengundi memihak kepada Myanmar dalam semua perkara kecuali satu.
Ketika ditanya sama ada Hakim Xue Hanqin bertindak atas arahan kerajaan China, Guo berkata para hakim melaksanakan tugas secara bebas.
Menurut beliau, Xue menyuarakan pandangan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan fakta kes, di samping mengambil kira pengalaman profesionalnya yang turut menunjukkan komitmen beliau dalam melaksanakan tanggungjawab.
Keputusan itu merupakan kali pertama dalam sejarah 80 tahun penubuhannya, ICJ memutuskan bahawa sesebuah negara telah melakukan genosid.
ICJ turut mengarahkan supaya pelarian Rohingya diberikan laluan pulang yang selamat ke tanah air serta pampasan, manakala Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Myanmar membenarkan mereka yang terpaksa meninggalkan negara itu untuk pulang ke tanah air.
Lebih sejuta etnik Rohingya kini menetap di Bangladesh, dengan kebanyakan mereka melarikan diri daripada operasi ketenteraan Myanmar pada 2017. -AFP