
BRUSSELS, 22 November – Cukai tiga peratus ke atas pendapatan tertentu syarikat teknologi digital gergasi dicadangkan Kesatuan Eropah (EU) sebagai sumber pembiayaan baharu bagi belanjawan blok itu untuk tempoh 2028 hingga 2034.
- Cadangan menyasar syarikat berpendapatan tahunan sekurang-kurangnya 50 juta euro dari aktiviti digital di EU dan perolehan global melebihi 750 juta euro.
- Cukai dikenakan terhadap pendapatan bersih daripada pengiklanan dalam talian, perkhidmatan pengantaraan digital dan penggunaan data yang dijana pengguna.
- Draf belanjawan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 204 bilion euro untuk merapatkan perbezaan pendirian antara 27 negara anggota.
- Sumber pendapatan sendiri EU dianggarkan berpotensi menjana kira-kira 60 bilion euro setahun.
Cadangan berkenaan menyasarkan syarikat yang mencatat perolehan tahunan sekurang-kurangnya 50 juta euro daripada aktiviti digital di EU serta perolehan global melebihi 750 juta euro.
Cukai itu akan dikenakan terhadap pendapatan bersih tahunan daripada pengiklanan dalam talian, perkhidmatan pengantaraan digital dan penggunaan data yang dijana pengguna.
Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa mengemukakan cadangan tersebut bersama draf belanjawan baharu yang mengurangkan perbelanjaan sebanyak 204 bilion euro daripada pelan asal Suruhanjaya Eropah bernilai dua trilion euro.
Langkah itu bertujuan merapatkan perbezaan pendirian dalam kalangan 27 negara anggota mengenai jumlah perbelanjaan dan sumber kewangan EU bagi tempoh tujuh tahun akan datang.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima reaksi berbeza apabila Jerman menyifatkan saiz belanjawan masih terlalu besar, manakala Perancis membantah pemotongan peruntukan, khususnya bantuan kepada petani.
Canselor Jerman, Friedrich Merz menegaskan keperluan negara anggota mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing, sementara pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan cadangan itu sebagai mengecewakan.
Dalam pada itu, Costa menjelaskan cadangan cukai digital berkenaan tidak menyasarkan mana-mana syarikat atau negara tertentu, meskipun dijangka mengundang bantahan Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini mengkritik tindakan EU terhadap syarikat teknologi gergasi.
Draf tersebut turut merangkumi cadangan levi sisa elektronik dan kenaikan cukai tembakau, selain penelitian terhadap kemungkinan mengenakan cukai aset kripto serta memperoleh hasil daripada lelongan spektrum frekuensi radio.
Secara keseluruhan, sumber pendapatan sendiri EU dianggarkan berpotensi menjana kira-kira 60 bilion euro setahun.
Bagaimanapun, usaha mencapai persetujuan dijangka berdepan cabaran apabila 17 negara anggota menerusi kumpulan Friends of Cohesion mendesak peruntukan lebih besar bagi sektor pertanian dan pembangunan wilayah.
Parlimen Eropah turut menyuarakan bantahan terhadap pemotongan perbelanjaan yang dianggap tidak sepadan dengan keperluan menangani cabaran semasa.
Cadangan itu dijadual menjadi tumpuan rundingan pemimpin EU di Brussels minggu depan, dengan Costa menyasarkan persetujuan menjelang Disember sebelum rundingan lanjut bersama Parlimen Eropah. – AFP