
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Sebanyak 10 Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) disasar dibangunkan tahun depan bertujuan memperluas akses pendidikan, khususnya kepada murid di pedalaman.
- KPM telah mewujudkan sembilan Sekolah Model Khas K11 setakat ini.
- KPM menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan setiap tahun untuk murid di kawasan bandar dan luar bandar.
- K11 menawarkan pendidikan 11 tahun mulai Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dalam satu premis dan pentadbiran, selaras Akta Pendidikan.
- Kurikulum Persekolahan 2027 dilaksanakan berperingkat dengan penekanan literasi, numerasi dan pembangunan sahsiah sejak peringkat awal.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan setakat ini sembilan sekolah K11 telah diwujudkan.
“Kita cakna memang ada lagi sekolah-sekolah yang tidak mampu dijadikan sebagai sekolah K9 dan K11.
“Namun, sekiranya syarat serta kondisi sekolah-sekolah berkenaan adalah bersesuaian, maka pihak KPM akan terus memastikan akses pendidikan itu,”katanya dalam Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kinabantangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar.
Mengulas lanjut, beliau berkata KPM sedia memastikan kebajikan murid diberi perhatian menerusi penyediaan 18 jenis bantuan persekolahan setiap tahun meliputi murid di kawasan bandar dan luar bandar.
Sekolah Model Khas K11 menawarkan pendidikan selama 11 tahun, bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dalam satu premis dan pentadbiran yang sama, selaras Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bilangan murid Tahun Satu yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) menunjukkan penurunan daripada 76,762 individu pada 2023 kepada 48,636 murid pada 2025.
Penurunan itu susulan pelaksanaan intervensi berfokus KPM, sekaligus mencerminkan perkembangan positif dalam usaha meningkatkan penguasaan kemahiran asas murid.
“Bagi jangka panjang, Kurikulum Persekolahan 2027 sedia dilaksana secara berperingkat mulai tahun depan, dengan penekanan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembangunan sahsiah sejak peringkat awal persekolahan,”katanya.