Malaysia gagalkan cubaan seludup cip AI bernilai RM49.5 juta

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah (dua dari kiri) bergambar bersama anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sisi pelayan komputer yang dilengkapi cip AI yang dirampas di zon perdagangan bebas KLIA, selepas sidang media di Sepang pada 28 Oktober 2026 / Foto AFP

SEPANG, 28 Oktober – Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) canggih menerusi zon perdagangan bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membabitkan rampasan bernilai RM49.5 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 30 unit pelayan mengandungi cip AI canggih dalam pemeriksaan bulan ini.
  • Kes ini merupakan kes kelima tahun ini dan nilai rampasan lima kes melebihi AS$24 juta.
  • Peralatan diisytiharkan sebagai komponen elektronik untuk mengelak pengesanan dan dipercayai transit semula ke negara Asia lain bagi menghindari sekatan.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata sebanyak 30 unit pelayan yang mengandungi cip AI canggih dirampas dalam pemeriksaan pada bulan ini.

Menurutnya, peralatan itu dianggarkan bernilai AS$12.1 juta (RM49.5 juta) dan kes berkenaan merupakan kes kelima tahun ini melibatkan sindiket penyeludupan cip AI canggih.

Secara keseluruhan, nilai rampasan bagi lima kes berkenaan melebihi AS$24 juta (kira-kira RM98 juta).

Aspalila berkata, pelayan berkenaan diisytiharkan sebagai komponen elektronik bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati peralatan itu dipercayai untuk dieksport semula ke sebuah negara lain di Asia, dengan Malaysia digunakan sebagai lokasi transit bagi mengelakkan sekatan eksport,” katanya pada sidang media di Sepang, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan negara asal pelayan, lokasi pembuatan cip atau destinasi akhirnya kerana kes masih dalam siasatan.

Syarikat yang menguruskan penghantaran itu turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Malaysia memperketat kawalan eksport dan pemindahan semula cip dari Amerika Syarikat tahun lalu, termasuk keperluan permit perdagangan strategik serta pemberitahuan awal sekiranya terdapat risiko penyalahgunaan atau pengalihan destinasi.

Langkah itu selari dengan usaha Washington memperketat sekatan eksport semikonduktor canggih menerusi Malaysia dan Thailand bagi menghalang cip berkenaan disalurkan ke China.

Malaysia sebelum ini turut menyiasat beberapa kes berkaitan pelayan yang mengandungi cip Nvidia buatan Amerika Syarikat, termasuk peralatan yang sepatutnya dihantar ke Singapura tetapi ditemukan di Malaysia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.