
BEIJING, 28 Oktober – China mengambil serius permohonan maaf bintang bola sepak Real Madrid, Kylian Mbappe, susulan kenyataannya yang mencetuskan kontroversi kerana bergurau mengenai bekas pemimpin China, Mao Zedong.
- Mbappe memohon maaf, mengakui komen tidak wajar dan menerbitkan kenyataan dalam bahasa Perancis, Cina dan Inggeris.
- Kenyataan gurauan mengenai imejnya disunting kepada figura yang dirujuk sebagai Mao mencetus kemarahan dan kecaman di media sosial China.
- China Media Group menggantung siaran La Liga; beberapa syarikat seperti Dongpeng, Mengniu dan Milkground menamatkan kerjasama komersial.
- Akaun Mbappe di Xiaohongshu dan Weibo disekat; People's Daily menegaskan pentingnya menghormati sejarah dan sentimen nasional.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun menegaskan, Beijing mengambil serius permohonan maaf yang disampaikan pemain antarabangsa Perancis itu pada Selasa.
“Kami mengambil serius permohonan maaf yang dibuat oleh individu berkenaan,” katanya pada sidang media pada Rabu.
Mbappe dalam kenyataannya mengakui komen itu tidak wajar dan memahami bahawa kata-katanya menyinggung perasaan ramai rakyat China serta masyarakat China di seluruh dunia.
“Saya memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan kata-kata saya,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan dalam bahasa Perancis, Cina dan Inggeris.
Kontroversi itu tercetus selepas Mbappe dalam satu temu bual video bergurau mengenai meme internet yang memaparkan wajahnya disunting pada imej seorang lelaki yang disifatkannya sebagai diktator China, dipercayai merujuk kepada Mao.
Kenyataan itu mencetuskan kecaman di media sosial China, memandangkan Mao merupakan tokoh sensitif dalam sejarah negara itu.
Kepimpinannya dikaitkan oleh ahli sejarah dengan kematian berjuta-juta orang.
Susulan kontroversi itu, China Media Group (CMG), penyiar negara China, menggantung siaran perlawanan La Liga, liga bola sepak utama Sepanyol.
Beberapa syarikat tempatan turut menamatkan kerjasama komersial dengan Mbappe, termasuk pengeluar minuman Dongpeng serta syarikat tenusu Mengniu dan Milkground.
Akaun Mbappe di platform media sosial China, Xiaohongshu dan Weibo, turut disekat, manakala pemain berusia 27 tahun itu terus menerima kecaman daripada pengguna media sosial negara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar rasmi People’s Daily menerusi ulasan minggu ini menegaskan kepentingan menghormati sejarah, budaya, adat resam dan sentimen nasional negara lain dalam hubungan antarabangsa.
Kontroversi itu mengingatkan kepada tindakan China pada 2019, apabila penyiar negara menggantung siaran perlawanan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) selama setahun susulan ciapan seorang pegawai pasukan Houston Rockets yang menyatakan sokongan kepada gerakan kebebasan Hong Kong. – AFP