Gencatan senjata di Oleshky, buka peluang salur bantuan

Seorang lelaki menunggang basikal melewati sebuah bangunan yang rosak akibat serangan udara di Kyiv / Foto AFP

KYIV, 28 Oktober – Gencatan senjata tempatan di bandar Oleshky, selatan Ukraine, yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) kekal bertahan memasuki hari kedua pada Rabu, sekali gus membuka peluang penyaluran bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk yang terperangkap.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gencatan senjata tempatan di Oleshky kekal hari kedua, membuka peluang penyaluran bantuan makanan dan ubat kepada penduduk terperangkap.
  • Pesuruhjaya hak asasi Ukraine dan Rusia mengesahkan tiada insiden direkodkan dalam 30 jam pertama gencatan senjata.
  • Laluan keluar masih tidak jelas kerana garisan hadapan di Sungai Dnipro sukar diseberangi; bandar kekal ditawan dan penduduk kekurangan bekalan.

Bandar yang diduduki Rusia di wilayah Kherson itu berdepan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan sejak beberapa bulan lalu. Daripada kira-kira 2,000 penduduk yang masih tinggal, sebahagiannya dilaporkan terpaksa memburu dan memakan burung merpati untuk meneruskan kehidupan.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets dan rakan sejawatnya dari Rusia, Yana Lantratova, mengesahkan tiada insiden direkodkan sepanjang 30 jam pertama gencatan senjata yang berkuat kuasa awal Selasa.

Gencatan senjata itu diumumkan Wanita Pertama Amerika, Melania Trump, susulan kebimbangan antarabangsa terhadap nasib penduduk di bandar berkenaan.

Bagaimanapun, laluan untuk penduduk meninggalkan kawasan itu masih belum jelas, memandangkan garisan hadapan pertempuran di Sungai Dnipro sukar diseberangi.

Oleshky ditawan tentera Rusia ketika pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine bermula pada 2022.

Ahli Parlimen Ukraine, David Arakhamia, menyifatkan gencatan senjata itu sebagai langkah meredakan konflik terbesar sejak 2022.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.