Maritim Malaysia perkukuh kompetensi kru helikopter AW189

Foto Facebook Maritim

SUBANG, 23 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus mempertingkat kesiapsiagaan operasi udaranya menerusi penganjuran Kursus Latihan Kru Kabin (Fasa Penerbangan) Helikopter AW189 dengan kerjasama pihak pakar antarabangsa, Leonardo Helicopter Division (LHD) dari Itali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan menumpukan peningkatan kompetensi, kemahiran teknikal dan kecekapan kru udara serta kru teknikal dalam pengendalian helikopter.
  • Latihan memastikan setiap misi perairan dilaksanakan secara selamat, cekap dan berkesan, terutamanya operasi mencari dan menyelamat.
  • Perkongsian kepakaran antarabangsa memperkukuh pengendalian sistem pesawat, pengoptimuman peralatan misi serta koordinasi antara kru.
  • Keupayaan aset udara disokong oleh kru kompeten yang menguasai prosedur keselamatan dan latihan berterusan untuk kesiapsiagaan tertinggi.

Program latihan intensif yang berlangsung di Stesen Udara Maritim Subang sejak 7 September hingga 16 Oktober lalu itu melibatkan sembilan pegawai dan anggota tempatan bersama enam jurulatih pakar LHD yang merangkumi bidang juruterbang, operator sistem serta perenang penyelamat.

“Latihan ini memberi tumpuan khusus terhadap peningkatan kompetensi, kemahiran teknikal, dan kecekapan kru udara serta kru teknikal dalam mengendalikan helikopter model AW189.

“Ia bertujuan memastikan setiap misi yang digerakkan di perairan negara dapat dilaksanakan secara selamat, cekap, dan berkesan,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut Ketua Stesen Udara Maritim Subang Mohd Ikmal Ridzuan, latihan berterusan serta perkongsian kepakaran antarabangsa amat penting bagi memastikan kru udara sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

“Keupayaan aset udara perlu disokong oleh kru yang kompeten, menguasai kemahiran teknikal dan mematuhi prosedur keselamatan. Latihan seperti ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan kru serta memastikan helikopter AW189 dapat digunakan secara berkesan, khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta misi kecemasan maritim,” katanya.

Selain menguji kecekapan, latihan bersama pakar Itali itu turut berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu, memperkukuh pengendalian sistem pesawat, pengoptimuman peralatan misi serta meningkatkan koordinasi sesama kru semasa beroperasi di lapangan.

“Kecekapan kru udara merupakan elemen krusial bagi menyokong peranan Maritim Malaysia dalam pengawasan, penguatkuasaan dan tindakan pantas sewaktu insiden kecemasan di laut,”ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.