Hak berhimpun bukan lesen untuk melakukan kemusnahan – MCW

Situasi ketika pemprotes bertindak ganas menyalakan api di kawasan awam. Presiden MCW, Jais Abdul Karim (atas kanan) berkata tindakan keganasan ketika demonstrasi menjejaskan kredibiliti tuntutan yang diperjuangkan./ AFP

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Hak untuk berhimpun dan menyuarakan bantahan secara aman tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan keganasan, vandalisme atau kemusnahan harta benda awam, menurut Malaysia Corruption Watch (MCW).

RINGKASAN BERITA AI
  • Demonstrasi bertanggungjawab memperkukuh demokrasi; keganasan menjejaskan kredibiliti tuntutan dan keamanan awam.
  • Kerajaan mesti mengakui punca ketidakpuasan seperti ketidakadilan, rasuah dan kesukaran ekonomi serta memperbaiki tadbir urus.
  • Kedewasaan demokrasi memerlukan tanggungjawab kedua pihak: peserta menolak keganasan, kerajaan tingkatkan ketelusan dan dengar suara rakyat.

Presiden MCW Jais Abdul Karim dalam kenyataannya, menegaskan bahawa demonstrasi merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi yang membolehkan rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati, mencabar dasar kerajaan dan menuntut akauntabiliti.

“Tindakan keganasan ketika demonstrasi boleh menjejaskan kredibiliti tuntutan yang diperjuangkan, khususnya apabila perhimpunan aman bertukar menjadi rusuhan sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kerugian ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Merujuk kepada rencana sebuah akhbar bertajuk ‘Demonstrasi Tidak Bertamadun’ yang mengetengahkan insiden demonstrasi di Perancis, beliau berkata kejadian seumpama itu menjadi peringatan bahawa bantahan yang mempunyai asas munasabah boleh kehilangan kewibawaan moral apabila dicemari keganasan dan ekstremisme.

Menurut Jais lagi, demonstrasi yang bertanggungjawab seharusnya memperkukuh demokrasi dan bukannya menjejaskan ketenteraman awam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan juga perlu mengakui bahawa ketidakpuasan hati rakyat lazimnya berpunca daripada persepsi terhadap ketidakadilan, rasuah, kesukaran ekonomi, ketidaksamarataan dan kelemahan tadbir urus.

Jelasnya, tindakan menyekat kritikan yang sah tanpa menangani punca permasalahan berkenaan berisiko meningkatkan ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Kematangan demokrasi memerlukan tanggungjawab daripada kedua-dua pihak, iaitu rakyat dan kerajaan.

“Peserta demonstrasi perlu mengekalkan disiplin, menolak keganasan serta menghormati harta benda awam, manakala kerajaan pula perlu memperkukuh ketelusan, integriti dan keadilan serta menunjukkan kesediaan untuk mendengar suara rakyat,” menurut kenyataan beliau lagi.

Jelasnya, kematangan sesebuah demokrasi bukan diukur berdasarkan ketiadaan demonstrasi, sebaliknya melalui keupayaan mengurus perbezaan pendapat secara aman, melindungi kebebasan asasi dan memastikan tadbir urus yang bertanggungjawab.

MCW turut mengemukakan persoalan mengenai pihak yang sepatutnya memikul tanggungjawab lebih besar apabila demonstrasi bertukar ganas, sama ada peserta yang melakukan kemusnahan atau kerajaan yang gagal menangani keluhan rakyat yang mempunyai asas munasabah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.