Skandal 1MDB terus bebankan kewangan negara

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara apabila kerajaan masih perlu menanggung hutang dan komitmen berkaitan syarikat itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembayaran balik bon dan komitmen 1MDB yang tidak teratur menjejaskan peruntukan fiskal serta perancangan dan pelaksanaan pembangunan rakyat.
  • Kerajaan menekankan kepentingan memperkukuh tatakelola melalui akta baru dan garis panduan jelas untuk mengelakkan pelanggaran masa depan.
  • Tindakan undang-undang diteruskan; beberapa tertuduh didapati bersalah manakala prosiding bagi kes lain masih berjalan.
  • Sehingga 31 Ogos 2026, kerajaan membelanjakan RM42.5 bilion; liabiliti bersih masih dianggarkan RM20.1 bilion tanpa pemulihan aset.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembayaran balik bon serta komitmen 1MDB yang tidak mengikut fasa tertentu memberi kesan langsung terhadap peruntukan fiskal kerajaan, sekali gus mempengaruhi perancangan dan pelaksanaan pembangunan untuk rakyat.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh tatakelola kerajaan menerusi pengenalan undang-undang baharu serta garis panduan yang lebih jelas bagi mengelakkan pelanggaran pada masa hadapan.

“Kerana itulah kerajaan mengambil berat tentang isu tatakelola. Tatakelola merupakan antara perkara paling penting untuk ditangani. Sebab itu, kita memperkenalkan akta-akta baharu bagi mengemas kini tatakelola kerajaan serta menetapkan garis panduan dan kawalan bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, beberapa kes berkaitan telah dibicarakan di mahkamah dan terdapat tertuduh yang didapati bersalah, manakala prosiding bagi kes lain masih berjalan.

Beliau berkata, usaha meningkatkan ketelusan serta menambah baik tatakelola kerajaan akan terus menjadi keutamaan bagi mengelakkan skandal seumpama itu berulang.

Setakat 31 Ogos 2026, kerajaan telah membelanjakan RM42.5 bilion bagi menampung hutang dan komitmen berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, liabiliti bersih kerajaan berkaitan 1MDB dianggarkan masih berbaki RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan aset atau dana tambahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.