Protes di seluruh Itali, penunjuk perasaan bertempur dengan polis

Penunjuk perasaan bertembung dengan polis di Piazza Duomo, Milan / Foto fail AFP

ROM, 25 Oktober – Protes berhubung peningkatan kos sara hidup, pengembangan ketenteraan dan peningkatan perbelanjaan senjata melanda beberapa bandar Itali pada Sabtu, dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis dilaporkan di beberapa lokasi, menurut media Itali, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergaduhan di Bologna; perkhidmatan kecemasan terima 17 panggilan, enam dibawa ke hospital.
  • Di Rom, perarakan dari Piazza della Repubblica berakhir dengan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata.
  • Di Turin, penunjuk perasaan membaling bunga api dan botol; polis membalas menggunakan gas pemedih mata.
  • Menteri Dalam Negeri tempatkan pasukan tambahan di bandar utama; Perdana Menteri Meloni kecam keganasan dan seru perlindungan penunjuk aman.

Di Bologna, pertempuran berlaku antara beberapa penunjuk perasaan dengan polis pada petang Sabtu, lapor akhbar Itali Corriere della Sera.

Perkhidmatan perubatan kecemasan menerima 17 panggilan untuk bantuan dan enam orang dibawa ke hospital dengan ambulans.

Di Rom, penunjuk perasaan bertolak dari Piazza della Repubblica pada petang Sabtu untuk perarakan antiperang, menurut agensi berita ANSA.

Pergaduhan antara penunjuk perasaan dan polis di pusat bandar lewat petang itu, mendorong polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata dalam usaha menyuraikan orang ramai.

Di Turin, penunjuk perasaan yang membantah terutamanya terhadap peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan kenaikan harga bahan api bertempur dengan polis pada petang Sabtu.

Beberapa penunjuk perasaan membaling bunga api dan botol ke arah pegawai, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.

Susulan demonstrasi yang memuncak menjadi rusuhan dan rompakan pada hujung minggu sebelumnya, khususnya di Milan, Menteri Dalam Negeri Itali Matteo Piantedosi mengarahkan pasukan polis tambahan ditempatkan di seluruh negara.

Pengukuhan itu tertumpu terutamanya di bandar-bandar utama di mana perhimpunan terbesar dijangkakan.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam keganasan itu dalam catatan media sosial pada petang Sabtu, menekankan keperluan untuk melindungi penunjuk perasaan aman dan orang ramai.

“Keselamatan setiap orang mesti terjamin: mereka yang ingin berdemonstrasi secara aman, mereka yang bekerja, dan mereka yang ingin tinggal di bandar mereka tanpa rasa takut,” katanya.

“Kita tidak boleh memberi ruang kepada mereka yang tidak mencari apa-apa selain konfrontasi dan keganasan.” – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.