Larangan Waze ambil kira implikasi perundangan dan risiko salah guna data – MKN

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze kepada penjawat awam bukan sekadar mengambil kira faktor keselamatan teknikal aplikasi, malah implikasi perundangan serta penyalahgunaan data lokasi yang berisiko menjejaskan keselamatan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Waze menempatkan pengguna di bawah bidang kuasa undang-undang Israel, menyebabkan implikasi perundangan untuk penjawat awam.
  • Data lokasi dan maklumat pemetaan boleh menjadi sensitif, terdedah kepada penyalahgunaan atau manipulasi oleh pihak tertentu.
  • Pengguna dinasihatkan meneliti terma dan syarat aplikasi navigasi untuk menjamin keselamatan peribadi.
  • Perkembangan kecerdasan buatan meningkatkan kebimbangan penggunaan data digital bagi mengancam keselamatan siber; NACSA menilai risiko sebagai signifikan.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata penggunaan aplikasi Waze akan menyebabkan pengguna tertakluk kepada undang-undang Israel.

“Dalam konteks ini, penggunaan Waze oleh penjawat awam tidak dibenarkan buat masa ini berikutan aspek perundangan yang menetapkan perkhidmatan itu tertakluk kepada undang-undang Israel.

“Apabila kita tertakluk kepada perundangan Israel, data dan maklumat yang dikumpulkan atau dikongsi sepanjang penggunaan aplikasi itu juga berpotensi tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Susulan itu, Ir Dr Megat menasihatkan pengguna meneliti terma dan syarat sesuatu aplikasi navigasi bagi menjamin keselamatan peribadi.

“Walaupun hanya melibatkan maklumat perjalanan harian, data tersebut boleh menjadi sensitif, khususnya bagi penjawat awam yang melaksanakan tugas-tugas tertentu.

“Maklumat lokasi dan data pemetaan yang dikongsi melalui penggunaan Waze untuk menambah baik perkhidmatannya berpotensi disalahgunakan atau dimanipulasikan oleh pihak tertentu,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan data digital digunakan untuk tujuan mengancam keselamatan siber negara.

Sehubungan itu, keputusan larangan penggunaan Waze dibuat selepas NACSA melaksanakan penilaian risiko dan mendapati potensi ancaman yang dikenal pasti kepada negara adalah signifikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.