Dua rakyat Malaysia cedera akibat Taufan Champi di Taiwan

Foto fail / AFP

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Dua rakyat Malaysia mengalami kecederaan ringan akibat Taufan Champi yang melanda Taiwan, kini menerima rawatan perubatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra menasihatkan orang Malaysia agar berwaspada, elak kawasan pesisir dan gunung serta patuhi arahan keselamatan dan pemindahan pihak berkuasa.
  • Semak status penerbangan dan perkhidmatan feri terus dengan pengendali sebelum ke lapangan terbang atau terminal akibat gangguan pengangkutan.
  • Hubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei untuk bantuan konsular: +886 972 349 343 atau mwtaipei@kln.gov.my.

Kementerian Luar Negeri (KLN) yang juga dikenali sebagai Wisma Putra mengesahkan perkara itu.

“Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Taiwan dinasihatkan sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai dan pergunungan serta mematuhi segala arahan keselamatan dan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia turut digalakkan mengikuti perkembangan cuaca tempatan dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu ke kawasan yang terjejas akibat banjir, tanah runtuh atau bahaya lain berkaitan cuaca,” menurut kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Susulan gangguan pengangkutan yang masih berterusan di pulau berkenaan, KLN menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat ke Taiwan supaya menyemak status penerbangan atau perkhidmatan feri masing-masing secara langsung dengan pengendali berkaitan sebelum ke lapangan terbang atau terminal.

Kementerian itu sedang memantau rapat situasi Taufan Champi yang membawa angin kencang, hujan lebat serta gangguan terhadap perkhidmatan pengangkutan dan perkhidmatan awam.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai warga Malaysia yang mungkin memerlukan bantuan di kawasan terjejas, digesa menghubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei pada talian +886 972 349 343 atau melalui e-mel mwtaipei@kln.gov.my

Sementara itu, Taufan Champi yang melanda Taiwan memaksa pihak berkuasa tempatan memindahkan penduduk daripada kawasan yang berisiko dilanda banjir dan tanah runtuh.

Perkhidmatan pengangkutan termasuk penerbangan dan feri turut terjejas akibat daripada cuaca buruk yang berleluasa di beberapa kawasan di Taiwan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.