Kematian dalam tahanan: Kecederaan pada Noorizwan perlu siasatan lanjut

Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 Oktober – Beberapa kecederaan luar biasa dikenal pasti pada Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia dalam tahanan polis, sekali gus memerlukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematiannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punca kematian masih belum dapat dipastikan; menunggu laporan bedah siasat dan analisis makmal.
  • Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard menjalankan siasatan; Jabatan Siasatan Jenayah diarahkan mempercepat dan memaklumkan perkembangan kepada orang awam.
  • Perdana Menteri mengarahkan ketua polis pastikan siasatan menyeluruh dan telus ke atas kematian Noorizwan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata, punca kematian mangsa masih belum dapat dipastikan sementara pihak berkuasa menunggu laporan makmal dan laporan bedah siasat daripada hospital.

“Jadi kita masih belum mendapat keputusan sebab-sebab kematian. Tetapi daripada apa yang kita lihat, ada beberapa kecederaan yang agak luar biasa yang memerlukan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa Spectrum di sini.

Tan Sri Mohd Khalid berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan, manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diarahkan mempercepatkan siasatan dan memaklumkan perkembangannya kepada orang awam.

Katanya, kenyataan rasmi mengenai punca kematian akan dikeluarkan selepas laporan bedah siasat diterima.

Noorizwan ditahan pada 19 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kesalahan memiliki dadah, kecurian dan pecah rumah, sebelum ditempatkan di IPD Cheras.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 30 September sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Semalam, Bukit Aman memaklumkan Noorizwan mengalami beberapa kecederaan pada bahagian luaran, tetapi tiada pendarahan dalaman dan punca kematiannya masih menunggu keputusan analisis makmal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengarahkan ketua polis negara memastikan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan ke atas kematian Noorizwan.

Terdahulu, Tan Sri Mohd Khalid antara tiga tokoh yang menerima anugerah Professor of Practice daripada Kolej Universiti Antarabangsa Spectrum pada majlis konvokesyen ke-26 institusi itu, hari ini.

Turut menerima angerah sama, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, dan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.