
NEW DELHI, 25 Oktober – Kira-kira 40 anggota polis cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan yang membantah cadangan pembinaan empangan hidroelektrik mega di Arunachal Pradesh, timur laut India, pada Jumaat.
- Penunjuk perasaan membakar balai polis, merosakkan pejabat NHPC dan menggeledah kediaman beberapa wakil rakyat.
- Protes tercetus berhubung cadangan Projek Pelbagai Guna Siang Atas 11,200 MW, bagi menyaingi projek hidro China di Tibet.
- Penduduk menentang kerana bimbang kehilangan tanah dan kediaman; ketegangan juga mencerminkan pertikaian sempadan India-China.
Ketua Menteri Arunachal Pradesh, Pema Khandu berkata, penunjuk perasaan turut membakar balai polis, merosakkan pejabat syarikat hidroelektrik milik kerajaan, NHPC, serta menggeledah kediaman beberapa wakil rakyat.
Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan itu.
Protes berkenaan tercetus susulan cadangan pembinaan Projek Pelbagai Guna Siang Atas berkapasiti 11,200 megawatt, yang menurut India penting bagi menyaingi projek hidroelektrik mega China bernilai AS$167 bilion di Tibet.
New Delhi bimbang projek China itu menjejaskan aliran air ke kawasan hilir Sungai Brahmaputra.
Empangan yang dicadangkan India pula bertujuan menyimpan air dalam takungan besar bagi membantu mengawal alirannya.
Bagaimanapun, penduduk tempatan menentang projek berkenaan kerana bimbang kehilangan tanah dan kediaman mereka.
Khandu menggesa pihak yang membantah supaya berunding dengan kerajaan dan menyuarakan kebimbangan secara aman.
“Persoalkan kami dan berdialog dengan kami, bukannya menggunakan kekerasan,” katanya.
Ketegangan itu turut mencerminkan pertikaian sempadan antara India dengan China, yang berkongsi sempadan di kawasan Himalaya.
Kementerian Luar India berkata kedua-dua negara terus berhubung melalui saluran diplomatik dan ketenteraan bagi menangani isu sempadan serta mengelakkan salah faham. – AFP