
KLANG, 25 Oktober – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa teguran dan titah baginda terhadap pentadbiran kerajaan negeri merupakan sebahagian daripada tanggungjawab memastikan kebajikan rakyat serta masa depan Selangor terus diberikan perhatian.
- Baginda menegaskan teguran bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
- Kemajuan sebenar diukur sejauh mana hasil negeri dinikmati rakyat, khususnya pendidikan, rumah mampu milik, pekerjaan dan persekitaran sihat.
- Baginda menghormati Undang-Undang Tubuh dan Perlembagaan, menegaskan peranan Sultan serta menyeru keharmonian dan kebebasan bersuara bertanggungjawab.
Baginda bertitah, teguran berkenaan bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila teguran atau titah diraja disalah tafsir oleh sesetengah pihak, termasuk ahli politik, seolah-olah baginda mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.
“Apa yang mendukacitakan Beta adalah apabila teguran atau ‘titah’ menurut bahasa istana, disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik, seolah-olah Beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.
“Beta ingin menegaskan, bahawa Beta amat arif tentang peruntukan undang-undang dan tahu sejauh mana peranan dan tanggungjawab Beta di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang negara ini dan negeri Selangor amalkan,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa baginda menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 serta Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan dan bidang kuasa Sultan.
Menurut baginda, setiap pihak yang diberikan amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai pelaburan, pembangunan pesat atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.
Sebaliknya, baginda menegaskan bahawa kemajuan sebenar perlu dinilai berdasarkan sejauh mana hasil kekayaan negeri dapat dinikmati seluruh rakyat, khususnya golongan miskin dan mereka yang memerlukan pembelaan.
Baginda bertitah, antara aspek yang perlu diberikan perhatian termasuk akses kepada pendidikan berkualiti, pemilikan rumah mampu milik, peluang pekerjaan yang luas serta persekitaran yang bersih dan sihat.
Baginda turut mengingatkan supaya rakyat tidak berasa terpinggir ketika kerajaan melaksanakan pembangunan negeri.
Sultan Sharafuddin juga menegaskan komitmen untuk terus memelihara kedudukan agama Islam sebagai agama negeri serta memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Selangor terus terpelihara.
Pada masa sama, baginda menyeru rakyat agar terus hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang.
Baginda turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, manakala perbezaan pandangan hendaklah diraikan dengan adab dan saling menghormati demi mengekalkan keharmonian negeri.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, selain Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang.