
KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar dua wartawan yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan membuat liputan program di Bagan Datuk, awal pagi tadi, dikurniakan kesembuhan segera.
- Dua wartawan terlibat: Nur Afiradina Arshad (34) dari Bernama dan Zahratulhayat Md Arif (37) dari New Straits Times.
- Perdana Menteri mengarahkan pegawainya menghulurkan bantuan segera kepada kedua wartawan.
- Nur Afiradina dirawat di zon kuning HRPB; Zahratulhayat pulang selepas menerima rawatan.
Dua wartawan berkenaan ialah Nur Afiradina Arshad, 34, daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Zahratulhayat Md Arif, 37, daripada New Straits Times (NST).
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menghulurkan bantuan segera kepada kedua-dua wartawan berkenaan.
“Mendoakan agar segala urusan rawatan mereka dipermudahkan, dikurniakan kesembuhan yang baik dan segera pulih seperti sediakala,” katanya.
Terdahulu, kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.00 pagi itu menyebabkan Nur Afiradina cedera dan kini sedang dirawat di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala Zahratulhayat yang turut mengalami kecederaan, dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.