Malaysia pesta gol belasah Guam 10-0

Aksi skuad B-16 ketika membelasah Guam 10-0 dalam aksi kedua kempen Kelayakan Piala Asia B-17 yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras/ Facebook: Football Association of Malaysia 

KUALA LUMPUR, 18 November- Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara terus menghidupkan peluang ke Piala Asia B-17 2027 selepas membelasah Guam 10-0 dalam aksi ketiga Kumpulan E di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nur Azam Hisham buka jaringan awal, diikuti oleh gol berganda Brian Paulus.
  • Ahmad Muzakif Fitri menjaringkan dua gol, termasuk rembatan dari luar kotak.
  • Fazryel Zefri melengkapkan hatrik, Guam tamat kempen kelayakan tanpa sebarang mata.

Kemenangan besar itu menyaksikan Malaysia kini berpeluang merebut slot ke pusingan akhir, dengan aksi terakhir menentang India pada Jumaat ini menjadi penentu nasib skuad negara dalam saingan kumpulan berkenaan.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi tandukan Nur Azam Hisham yang menyudahkan hantaran lintang Fazryel Zefri.

Brian Paulus kemudian menggandakan kelebihan negara pada minit ke-14 menerusi tandukan hasil hantaran Shah Haqiqullah sebelum Ahmad Muzakif Fitri menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-22 menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Ahmad Muzakif kemudian meledak gol keduanya pada minit ke-35 selepas menyambar bola muntah susulan pertembungan antara Aqif Syameel Fairul dan penjaga gol Guam, Joseph Palomo.

Pesta gol Malaysia diteruskan apabila Shah Haqiqullah meledak gol kelima pada minit ke-40, diikuti tandukan kedua Paulus seminit kemudian.

Fazryel kemudian mencetak dua gol berturut-turut pada minit ke-44 dan masa kecederaan babak pertama untuk membolehkan Malaysia mendahului 8-0 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus menguasai permainan dan menambah jaringan kesembilan pada minit ke-66 menerusi pemain gantian, Haziq Shakirin yang menyudahkan hantaran lintang Afiq Shameel dari sebelah kiri.

Fahim Zulkarnain hampir menambah jaringan pada minit ke-77, namun percubaannya sekadar menggegarkan palang gol.

Fazryel akhirnya melengkapkan hatrik pada minit pertama masa kecederaan babak kedua menerusi penyudah jarak dekat untuk mengesahkan kemenangan 10-0.

Kekalahan itu menyaksikan Guam menamatkan kempen kelayakan tanpa sebarang mata, sekali gus gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan.

Malaysia kini mengalihkan tumpuan kepada pertemuan menentang India pada Jumaat ini dalam usaha memburu slot ke Piala Asia B-17 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.