Pelumba terbaik Malaysia bakal berentap di IRONMAN Langkawi

Muhd Hafiz Md Yusup Peserta lelaki Malaysia terpantas daripada tiga edisi IRONMAN Malaysia 2025

KUALA LUMPUR, 17 November – Peserta lelaki Malaysia terpantas daripada tiga edisi IRONMAN Malaysia yang lepas bakal bersaing pada 21 Nov ini di Pulau Langkawi, Kedah, dengan penyertaan atlet wanita berpengalaman turut memeriahkan persaingan gelaran peserta lelaki dan wanita Malaysia terpantas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhd Hafiz Md Yusup pencatat masa 10:52:02, peserta lelaki Malaysia terpantas edisi lalu.
  • Beliau akan bersaing bersama Mohd Fawwaz Mohd Fauzi dan Muhammad Azmir Mohd Taib, bekas pemegang gelaran Malaysia.
  • Mohd Fawwaz menamatkan 2024 hanya lebih seminit daripada Hafiz, menggambarkan persaingan sengit di kalangan pelumba utama.
  • Perlumbaan menghimpunkan 1,900 peserta dari 65 negara; acara renang 3.8 km, berbasikal 180 km, larian 42.2 km.

Muhd Hafiz Md Yusup, yang merupakan peserta lelaki Malaysia terpantas tahun lepas dengan catatan masa 10 jam 52 minit 02 saat, bakal berentap bersama-sama Mohd Fawwaz Mohd Fauzi dan Muhammad Azmir Mohd Taib, yang memegang gelaran tersebut masing-masing pada 2024 dan 2023.

Mohd Fawwaz menamatkan perlumbaan dengan kelebihan hanya lebih seminit berbanding Hafiz pada 2024, sekali gus menunjukkan persaingan sengit dalam kalangan peserta utama Malaysia bagi perlumbaan IRONMAN kali ini.

Sementara itu, Muhammad Azmir mencatatkan 11:02:44 untuk mendahului peserta lelaki Malaysia pada 2023.

Muhd Hafiz berkata beliau tidak akan meletakkan tekanan ke atas dirinya untuk mempertahankan gelaran tersebut, sebaliknya menyasarkan untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding edisi sebelum ini.

“Saya mempunyai sasaran peribadi, tetapi apa yang lebih penting bagi saya adalah melihat sejauh mana kemampuan yang boleh saya capai semasa perlumbaan berlangsung,” katanya dalam kenyataan IRONMAN Malaysia Langkawi hari ini.

Dalam pada itu, kategori wanita menampilkan Ann Pow iaitu peserta wanita Malaysia terpantas pada 2022 dan 2024 bersama-sama Aimi Iwasaki, yang menduduki tempat kedua dalam kalangan peserta wanita Malaysia pada 2023, serta Nursyahariah Jusoh, yang mendahului peserta wanita Malaysia pada 2019.

Persaingan dalam kalangan peserta Malaysia ini merupakan sebahagian daripada minggu perlumbaan yang berlangsung dari 19 hingga 22 Nov, yang bakal menghimpunkan 1,900 peserta daripada 65 negara.

Atlet IRONMAN akan mengharungi cabaran merangkumi acara renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal (180 km) dan larian (42.2 km) – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.