PM tiba di Shenzhen hadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2026

Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao “‘an bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari bersempena Sidang Kemuncak APEC ke-33/ Bernama

SHENZHEN, 18 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Shenzhen, China bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AELW) 2026 yang berlangsung hingga Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Anwar disambut oleh Duta Besar, pegawai tinggi, kawalan kehormatan dan menerima jambangan bunga di Lapangan Terbang Shenzhen.
  • Beliau akan berucap pada Sidang Kemuncak CEO APEC serta menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi membincangkan isu-isu utama.
  • Agenda APEC menumpukan kesalinghubungan serantau, transformasi digital, kecerdasan buatan serta pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.
  • Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Pesawat yang membawa Datuk Seri Anwar selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an, Wilayah Guangdong, pada kira-kira 12.29 tengah malam waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri bagi pihak kerajaan China ialah Duta China ke Malaysia, Yao Wen; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Guangdong, Huang Chuping; serta Duta Protokol ke Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Ouyang Yujing.

Ketibaan beliau turut disusuli istiadat kawalan kehormatan membabitkan 36 anggota Tentera Pembebasan Rakyat China (The People’s Liberation Army), selain pemberian jambangan bunga dan persembahan kebudayaan.

Dalam lawatan kerja tiga hari itu, Datuk Seri Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Turut menyertai delegasi Malaysia ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Setiausaha Sulit Utama Perdana Menteri, Datuk Shahrol Anuwar Sarman.

Sepanjang persidangan itu, Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33, selain menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China, Xi Jinping serta pemimpin ekonomi anggota APEC lain bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan serantau.

Shenzhen yang terletak di Wilayah Guangdong turut dikenali sebagai ‘Silicon Valley’ China berikutan kedudukannya sebagai antara hab teknologi dan inovasi utama negara itu.

Bandar raya berkenaan menempatkan beberapa syarikat teknologi utama China termasuk Huawei, Tencent, BYD dan DJI, sekali gus mencerminkan transformasi ekonominya sejak pelaksanaan dasar pembaharuan berorientasikan pasaran kira-kira empat dekad lalu.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion (AS$126.81 bilion) pada 2025.

APEC merupakan forum antara kerajaan membabitkan 21 ekonomi anggota yang menggalakkan perdagangan dan kerjasama ekonomi di rantau Asia-Pasifik.

Kesemua ekonomi anggota itu mewakili hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh perdagangan global dan lebih 60 peratus keluaran ekonomi dunia.

Malaysia merupakan antara 12 ekonomi pengasas APEC, bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai forum itu pada 1993, diikuti Chile pada 1994.

Peru, Rusia dan Vietnam kemudian menyertainya pada 1998, menjadikan jumlah keanggotaan APEC sebanyak 21 ekonomi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.