Sidang Kemuncak ASEAN berakhir dengan seruan perpaduan, tindakan kolektif

Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao (tengah), menari pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila/Foto AFP

MANILA, 17 November – Filipina menamatkan Kepengerusian ASEAN pada Selasa, dengan pemimpin serantau menegaskan semula kepentingan perpaduan, kerjasama dan tindakan kolektif dalam menangani cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Marcos menyeru ASEAN kekal bersatu dan responsif menghadapi ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, teknologi pesat, perubahan iklim dan ancaman rentas negara.
  • Sidang membincangkan keselamatan maritim, keselamatan tenaga, integrasi ekonomi, transformasi digital serta pengukuhan kerjasama dengan rakan dialog antarabangsa.
  • Kepengerusian Filipina bertemakan "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama" menumpukan keamanan, kemakmuran dan pemerkasaan rakyat; penyerahan rasmi kepada Singapura 2027.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan Filipina dari 15 hingga 17 Nov menghimpunkan pemimpin dan wakil daripada 11 negara anggota blok serantau itu serta rakan dialognya bagi membincangkan isu serantau dan global yang mendesak.

Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. yang mempengerusikan sidang kemuncak itu menekankan keperluan ASEAN untuk kekal bersatu dan responsif dalam menghadapi ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perkembangan teknologi yang pesat, perubahan iklim serta ancaman rentas negara.

“Sepanjang tempoh kepengerusian kami, kami berusaha merealisasikan tema ‘Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama’ sebagai kompas yang memberikan hala tuju serta membawa kepimpinan, kesepaduan dan perpaduan dalam setiap tindakan kita,” katanya dalam ucapan penutup.

“Tahun ini membuktikan bahawa mengubah haluan apabila keadaan memerlukan tidak bermakna kita kehilangan arah. Walaupun keadaan berubah, kita terus memperkukuh keamanan dan kestabilan, merapatkan hubungan ekonomi serta memperluas perlindungan dan peluang untuk rakyat kita.”

Marcos menegaskan bahawa solidariti dalam kalangan negara anggota ASEAN amat penting bagi menangani cabaran serantau yang semakin kompleks.

“Oleh itu, institusi kita perlu saling berhubung seerat cabaran yang kita hadapi. Akhirnya, setiap negara anggota mesti boleh bergantung kepada ASEAN dan ASEAN juga mesti boleh bergantung kepada setiap anggotanya.

“Perkara ini sememangnya penting ketika krisis, tetapi sama pentingnya ketika keamanan dan kestabilan terpelihara,” katanya.

Sidang kemuncak itu membincangkan isu utama yang mempengaruhi rantau ini, termasuk keselamatan maritim, keselamatan tenaga, integrasi ekonomi, transformasi digital dan pengukuhan kerjasama dengan rakan luar.

“Apabila ekonomi, sistem tenaga, teknologi, institusi dan masyarakat kita semakin saling berhubung, kita berada pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan serta menyumbang kepada kekuatan rantau ini.

“Ukuran sebenar kejayaan usaha ini hanya dapat dinilai lama selepas kita meninggalkan dewan ini,” kata Marcos.

Pemimpin ASEAN turut mengadakan libat urus dengan rakan dialog mereka, termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, Australia, India dan New Zealand.

Kepengerusian Filipina bertemakan “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama” yang berpandukan tiga keutamaan strategik, iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.

Keutamaan itu mencerminkan usaha Filipina untuk membentuk komuniti ASEAN yang lebih aman, berdaya tahan dan inklusif.

Pertemuan itu turut memberi peluang kepada pemimpin ASEAN menilai kemajuan pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 serta mempergiat kerjasama dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada rantau ini.

Sidang kemuncak itu diakhiri dengan penyerahan rasmi Kepengerusian ASEAN daripada Filipina kepada Singapura yang akan menerajui blok serantau itu pada 2027. – BERNAMA-PNA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.