Nahas van polis: Isteri kenang Allahyarham sebagai suami, bapa penyayang

Isteri Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, Nor Ilyanie Abd Aziz

TAPAH, 17 November – Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob yang maut dalam nahas van polis berhampiran Tapah, Perak, pagi tadi, disifatkan isterinya sebagai seorang suami dan bapa yang penyayang serta bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kali terakhir isterinya bertemu beliau ialah sebelum mereka berangkat bekerja pagi itu.
  • Biasanya isterinya membekalkan Nescafe, dan pagi itu suami meminta Nescafe panas.
  • Nor Ilyanie dimaklumkan mengenai nahas kira-kira pukul 11 pagi oleh rakan sekerja suaminya.
  • Van dipercayai terbabas selepas tayar belakang kiri pecah; beberapa mangsa dilaporkan cedera parah dan ringan.

Nor Ilyanie Abd Aziz, 26 tahun, berkata, Allahyarham tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, selain sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai anggota polis.

Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu suaminya adalah sebelum mereka keluar bekerja pagi tadi.

“Tetapi, setiap kali dia perlu bertugas atau pergi ke tempat yang jauh, saya biasanya akan membekalkan Nescafe untuknya. Namun, pagi tadi saya tidak tahu mengapa dia meminta Nescafe panas.

“Dia seorang yang sangat baik. Dia sentiasa mengambil berat tentang saya, bertanya sama ada saya sudah makan, bagaimana keadaan saya di pejabat dan juga ketika hendak tidur,” katanya.

Nor Ilyanie berkata, beliau mendapat tahu mengenai nahas itu selepas dihubungi rakan-rakan sekerja suaminya kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa bapa saudara Allahyarham yang dalam perjalanan untuk menziarahi arwah turut terbabit dalam kemalangan, menyebabkan beliau terpaksa berpatah balik.

Pasangan itu berkahwin pada 12 April 2024 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Akif Irsyad Muhammad Shahrul Alif, yang kini berusia enam bulan.

Terdahulu, van polis yang dinaiki Allahyarham bersama rakan setugasnya dalam perjalanan ke Melaka dipercayai terbabas sebelum melanggar penghadang besi di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, selepas tayar belakang sebelah kiri van itu dipercayai pecah.

Dalam kejadian itu, empat lagi mangsa dilaporkan cedera parah, manakala enam yang lain mengalami kecederaan ringan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.