
KUALA KUBU BHARU, 17 November – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) susulan kejadian kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, di sini, ditamatkan secara rasmi hari ini selepas mangsa kelapan yang juga mangsa terakhir ditemukan pada hari kesembilan operasi.
- Mayat mangsa ditemukan pasukan BBP Kuala Kubu Bharu di Sektor C, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
- Mayat disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Nur Diyana Mohammad Zaki pada pukul 10.30 pagi.
- Kejadian 9 November melibatkan lapan lelaki, seorang Malaysia dan tujuh warga asing; 26 orang berjaya menyelamatkan diri.
Mayat mangsa lelaki itu ditemukan pasukan SAR dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu di Sektor C, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi penemuan oleh pegawai perubatan, Nur Diyana Mohammad Zaki, pada pukul 10.30 pagi.
Dengan penemuan itu, kesemua lapan mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan berjaya ditemukan, sekali gus menandakan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya.
Dalam kejadian 9 November lalu, lapan lelaki membabitkan seorang rakyat Malaysia dan tujuh warga asing dihanyutkan arus deras akibat kepala air di sungai tersebut.
Lima mangsa ditemukan pada 10 November, manakala mayat keenam iaitu lelaki warga Yaman ditemukan berhampiran Empangan Sungai Selangor pada 12 November lalu dan juga keesokan harinya, mayat warga India ditemui.
Ketika kejadian, seramai 34 individu daripada empat kumpulan dengan lapan lelaki dihanyutkan arus dengan 26 orang berjaya menyelamatkan diri.