Tiga lelaki ditahan cuba curi kabel di Taman Seri Sentosa

Foto IPD Brickfields

KUALA LUMPUR, 17 November – Tiga lelaki diberkas polis selepas disyaki cuba mencuri kabel dari sebuah lubang utiliti di Jalan Seri Sentosa, Taman Seri Sentosa, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat orang awam membawa kepada pemeriksaan polis dan tindakan susulan di lokasi.
  • Anggota Task Force Petaling dengan FRM dan MPV melakukan pemeriksaan; merampas lapan barangan termasuk alat pemotong dan penarik kabel berkuasa.
  • Operasi disambung bersama bomba dan Telekom Malaysia untuk keluarkan air dari lubang utiliti; kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 511.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook berkata, maklumat orang awam membawa kepada pemeriksaan polis di kawasan berkenaan bagi mengesan kegiatan itu.

“Pada 16 November 2026, kira-kira pukul 4.00 petang, sepasukan anggota Task Force Balai Polis Petaling, dengan bantuan anggota unit Fast Response Motorcycle (FRM) dan Mobile Patrol Vehicle (MPV) Petaling telah membuat pemeriksaan di lokasi selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Polis menahan dua lelaki di dalam lubang utiliti berkenaan serta merampas lapan barangan, termasuk alat pemotong kabel dan alat penarik kabel berkuasa elektrik, bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi diteruskan pada kira-kira pukul 7.30 malam dengan bantuan pihak bomba dan Telekom Malaysia (TM), termasuk kerja mengeluarkan air dari lubang utiliti sebelum seorang lagi lelaki ditemukan dan ditahan.

Ketiga-tiga lelaki terbabit bersama barangan yang dirampas dibawa ke Balai Polis Petaling untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Polis sedang melengkapkan siasatan bagi menentukan penglibatan setiap suspek, selain memastikan status pemilikan kabel serta sebarang kerosakan atau kerugian yang mungkin berlaku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.