
KANGAR, 25 Oktober – Aktiviti konvoi motosikal berkuasa tinggi berpotensi menjadi platform alternatif bagi memperluas promosi pelancongan Perlis, khususnya dalam mengetengahkan keindahan alam semula jadi serta keunikan produk tempatan yang masih kurang mendapat perhatian pelancong luar.
- Kerjasama kerajaan negeri dengan Reappear MC melalui Konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026 sebagai inisiatif memperkenalkan destinasi negeri.
- Peserta konvoi dijadikan duta pelancongan tidak rasmi untuk meneroka dan mempromosikan lokasi kurang dikenali.
- Menonjolkan keistimewaan Perlis seperti lanskap terpelihara, kehijauan, gunung ganang dan produk makanan unik.
- Konvoi dua hari melibatkan puluhan penunggang melawat ekopelancongan, lokasi membeli-belah dan premis makanan tempatan.
Kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Reappear MC menerusi penganjuran Konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026 menjadi antara inisiatif memperkenalkan destinasi pelancongan negeri itu dengan menjadikan peserta konvoi sebagai duta pelancongan tidak rasmi.
Pengasas Bersama Reappear MC, Fadzlaini Ibrahim berkata, Perlis mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri, terutama landskap semula jadi yang masih terpelihara, selain kepelbagaian makanan dan produk tempatan yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Menurutnya, aktiviti konvoi bukan sekadar memenuhi minat peminat motosikal berkuasa tinggi, malah membuka peluang kepada peserta untuk meneroka dan mempromosikan destinasi pelancongan yang kurang dikenali.
“Sebenarnya Perlis kaya dengan pemandangan. Pemandangan itu yang paling mahal sebenarnya, yang tidak ada dekat tempat lain, dengan keindahan, kehijauan dan gunung-ganang yang masih lagi terjaga.
“Itu sebenarnya yang paling eksklusif dekat negeri Perlis, selain daripada makanan dan juga produk makanan yang tidak ada dekat tempat lain,” katanya kepada RTM selepas majlis makan malam sempena Konvoi RMC NorthQuest Perlis 2026.
Fadzlaini berkata, keunikan destinasi seperti Kampung Wai serta kawasan yang menawarkan keindahan alam semula jadi perlu terus dipelihara dan diterokai sebagai produk pelancongan negeri.
Konvoi selama dua hari, melibatkan 38 buah motosikal berkuasa tinggi dengan penyertaan lebih 60 peserta yang menjelajah lebih 10 lokasi menarik di seluruh Perlis.
Antara destinasi dikunjungi termasuk kawasan ekopelancongan, lokasi membeli-belah serta premis yang menawarkan keunikan makanan tempatan.