
COLOMBO, 25 Oktober – Sri Lanka bertekad mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu susulan kenaikan harga minyak global, meskipun berdepan pelbagai kekangan, menurut Menteri Tenaga, Anura Karunathilaka.
- Harga bahan api, gas dan elektrik naik mendadak; catuan dan inflasi tertinggi tiga tahun menekan ekonomi pasca krisis 2022.
- Kerajaan pernah membelanjakan sehingga 30 peratus rizab mata wang asing dalam sebulan untuk import bahan api.
- Sasaran tenaga boleh baharu 70 peratus menjelang 2030, naik dari kira-kira 60 peratus sekarang, termasuk sekitar 40 peratus hidroelektrik.
Beliau berkata, tekanan terhadap bekalan dan harga tenaga menjadi dorongan untuk negara itu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Sri Lanka, yang mengimport semua keperluan minyak dan gasnya, terjejas teruk susulan perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, yang turut menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz.
Kenaikan mendadak harga bahan api, gas dan elektrik, selain pelaksanaan catuan serta inflasi pada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun, memberi tekanan kepada ekonomi negara itu yang masih pulih daripada krisis terburuk pada 2022.
Kementerian Tenaga memaklumkan, kerajaan pernah membelanjakan sehingga 30 peratus daripada rizab mata wang asingnya dalam tempoh sebulan bagi membiayai import bahan api fosil.
Sri Lanka menyasarkan 70 peratus bekalan elektrik negara dijana daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2030, berbanding kira-kira 60 peratus ketika ini, termasuk sekitar 40 peratus daripada tenaga hidroelektrik.
Karunathilaka berkata, kerajaan akan terus mengutamakan penggunaan tenaga boleh baharu dalam dasar tenaga negara bagi beberapa tahun akan datang. – AFP