
HULU TERENGGANU, 5 September – Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kedah mula menunjukkan hasil apabila hujan direkodkan di kawasan Empangan Beris, Muda dan Pedu bermula pukul 3 petang semalam (Jumaat).
- Operasi pembenihan awan melibatkan empat empangan di Kedah dan turut dilaksanakan di beberapa lokasi di Sarawak.
- Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia menawarkan aset dan tenaga kerja bagi menangani isu jerebu rentas sempadan.
- Sistem My CMAC diperkenalkan dan bacaan IPU dipantau melalui 68 stesen bagi meningkatkan pemantauan jerebu serantau.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan keadaan cuaca kering dan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di utara Semenanjung.
Operasi pembenihan awan itu melibatkan empat empangan di Kedah iaitu Beris, Muda, Pedu dan Ahning.
Pada masa sama, operasi pembenihan awan turut dilaksanakan di beberapa lokasi di Sarawak termasuk Empangan Bakun, Empangan Assyakirin dan Serian.
Menurut beliau, Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, termasuk menawarkan aset dan tenaga kerja bagi membantu usaha pemadaman kebakaran sekiranya diperlukan.
Di samping itu, kerajaan juga akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menerusi 68 stesen pemantauan di seluruh negara.
“Satu sistem baharu iaitu Sistem My CMAC diperkenalkan bagi meningkatkan pemantauan di seluruh rantau Asia. Penggunaan sistem ini dikongsi secara percuma bersama negara jiran Malaysia di Asia bagi meningkatkan lagi pemantauan pergerakan udara berkaitan jerebu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Basong, di sini.
Pada tahun ini, sebanyak RM700,000 diperuntukkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di daerah Hulu Terengganu.
Daripada jumlah itu, RM500,000 disalurkan kepada Kampung Basong bagi menaik taraf pelbagai kemudahan awam, manakala RM100,000 diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan Padang Setebu untuk menaik taraf kantin serta membekalkan peralatan bilik tayangan dan pejabat.
Baki peruntukan disalurkan bagi kerja-kerja pendawaian elektrik di surau dan stor kawasan tanah perkuburan Kampung Basong, yang turut menjadi medan latihan praktikal serta pembangunan kemahiran komuniti.