
KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Penyertaan wanita dalam pelbagai sektor ekonomi perlu diperluas menerusi penyediaan akses kepada ilmu, teknologi, pembiayaan, jaringan perniagaan serta peluang untuk berkembang.
- Sokongan akses ilmu, teknologi, pembiayaan dan jaringan perniagaan untuk memperkasakan wanita dalam perniagaan dan inovasi.
- Wanita berpotensi besar dalam rantaian nilai: keusahawanan, pemprosesan, inovasi, pemasaran dan pembangunan jenama tempatan.
- Pengiktirafan seperti Anugerah Wanita Ikon menggalakkan penerima memanfaatkan pengalaman untuk membimbing lebih ramai wanita mencapai potensi.
- Wujudkan ekosistem yang menyokong bukan sekadar meraikan kejayaan tetapi menyediakan peluang untuk berkembang, berdikari dan menyumbang kepada negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata sokongan berkenaan penting bagi membolehkan wanita meneroka bidang baharu serta membina perniagaan yang mampu bersaing dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.
Menurutnya, wanita mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam rantaian nilai industri, merangkumi keusahawanan, pemprosesan produk, inovasi, pemasaran dan pembangunan jenama tempatan.
“Apabila wanita diberikan ruang dan sokongan yang sewajarnya, mereka bukan sahaja meningkatkan taraf hidup keluarga, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/27 di ibu negara, malam tadi.
Datuk Seri Dr Noraini turut menyifatkan wanita sebagai antara pemangkin penting pembangunan negara, selain memainkan peranan sebagai pemimpin, pendidik, usahawan, profesional, penggerak komuniti dan tonggak keluarga.
Menurutnya, makna sebenar seorang wanita ikon bukan hanya diukur berdasarkan gelaran, kedudukan atau kejayaan, sebaliknya melalui nilai yang dipegang, cabaran yang berjaya diatasi serta manfaat yang diberikan kepada orang lain.
Beliau turut menyeru supaya ekosistem yang dibangunkan bukan sekadar meraikan kejayaan wanita, tetapi juga menyediakan peluang kepada lebih ramai wanita untuk berkembang, berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada majlis sama, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dinobatkan sebagai Wanita Ikon Malaysia 2026/27, manakala Nurul Shahira Mazli menerima pengiktirafan Wanita Ikon Muda Malaysia 2026/27.
Ceylyn Tay Wei Lung pula menerima anugerah Wanita Ikon Inspirasi Malaysia 2026/27, sementara Dr. Reynu Rajan dinobatkan sebagai penerima Wanita Ikon Waja Malaysia 2026/27.
Bagi Anugerah Khas, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menerima anugerah “He For She” AWIM 2026/27, satu-satunya pengiktirafan yang diberikan kepada lelaki.
Turut menerima Anugerah Khas ialah Kapten Amelia Kamarudin yang dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Ikon Malaysia 2026/27, manakala Rosnah Gosti Hassan menerima pengiktirafan Ibu Ikon Malaysia 2026/27.
Datuk Seri Dr Noraini berharap para penerima Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/27 terus memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan pengaruh masing-masing untuk membimbing lebih ramai wanita mencapai potensi terbaik.
Katanya, pengiktirafan itu bukan sekadar penghargaan terhadap usaha dan sumbangan, tetapi juga amanah untuk terus menyumbang, memimpin serta membuka lebih banyak ruang kepada wanita lain untuk berjaya.